Isu kelewatan Baja 3 selesai, baki bekalan dihantar esok

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 4:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu kelewatan Baja 3 selesai, baki bekalan dihantar esok

PETALING JAYA: Isu kelewatan bekalan Baja 3 melibatkan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan diselesaikan segera dengan penghantaran baki bekalan dijadualkan bermula esok.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghantaran baki bekalan kepada pesawah yang terjejas akan dilaksanakan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengemukakan surat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu bagi memohon penamatan perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. sebagai pembekal Baja 3 susulan kelewatan yang berlaku.

“Pada masa sama, saya telah mencadangkan supaya Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri telah bersetuju dengan permohonan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Suara Tani Malaysia Mohd. Shazwan Suban berkata, hanya sekitar 137, 560 beg atau 22 peratus baja sebatian tambahan (Baja Padi 3) berjaya dibekalkan daripada keseluruhan 616, 015 beg kepada pesawah.

Dalam pada itu Mohamad berkata, kementeriannya turut mengarahkan Mada supaya memantau proses penghantaran berkenaan secara rapi sehingga bekalan benar-benar diterima pesawah.

“Tiada ruang untuk kelewatan berulang apabila ia melibatkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran sektor pengeluaran makanan negara,” katanya. – UTUSAN

The post Isu kelewatan Baja 3 selesai, baki bekalan dihantar esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved