Jangan hanya siasat, Pesawah mahu kerajaan bayar ganti rugi

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan hanya siasat, Pesawah mahu kerajaan bayar ganti rugi
Laporan Sinar Harian mengenai Perdana Menteri arah SPRM siasat isu kelewatan bekalan baja kepada pesawah di Kedah. Gambar kecil: Abdul Rashid

ALOR SETAR - Kerajaan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada siasatan berhubung kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), sebaliknya turut membayar ganti rugi.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu berkenaan disambut baik, namun ia tidak menyelesaikan kerugian yang telah ditanggung pesawah.

Menurutnya, kelewatan penghantaran Baja 3 bukan sahaja menjejaskan penggunaan input pertanian, malah menyebabkan sebahagian pesawah sudah selesai menuai sedangkan baja yang sepatutnya diterima masih belum sampai.

“Sepatutnya bekalan diterima antara April hingga Oktober, namun sehingga kini masih berlaku kelewatan.

“Ada pesawah yang sudah menuai padi, tetapi baja yang sepatutnya diterima masih belum sampai,” katanya .

Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu segera memikirkan bentuk pampasan sewajarnya kepada pesawah yang telah mengalami kerugian akibat kelewatan tersebut.

“Berapa besar kos yang sudah dikeluarkan? Sepatutnya ada bayaran kerana ini bukan bencana alam tetapi kesilapan manusia dalam urus bekalan baja.

“Kerajaan perlu tampil dengan penyelesaian yang adil kepada pesawah, bukan sekadar memberikan insentif RM100 atau RM200. Kerugian setiap pesawah perlu diambil kira berdasarkan keluasan sawah yang diusahakan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved