
KUALA LUMPUR - Bantuan awal persekolahan ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid bagi sesi persekolahan 2027, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika membentangkan Bajet 2027, Perdana Menteri berkata, ini bermakna keluarga dengan empat orang anak akan menerima 800 ringgit untuk persiapan bagi sesi persekolahan tahun depan.
Beliau memberitahu, seramai 5.3 juta murid layak menerima Bantuan Awal dengan peruntukan RM1 bilion.
“Bantuan ini akan disalurkan di sekolah supaya ibu bapa dapat hadir dan bertemu sendiri dengan guru sebagai tanggungjawab bersama bagi kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak.
“Seperti saya umumkan sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk memberikan elaun sara hidup kepada pelajar tingkatan enam berjumlah RM2,500.
“Kadar ini menyamai elaun pelajar matrikulasi dan akan memanfaat 90,000 pelajar tingkatan enam,’’ katanya.
Anwar turut memberitahu, Kementerian Pendidikan kekal menerima peruntukan tertinggi, hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion sebelum ini. - 9 Oktober, 2026
The post Bajet 2027: Bantuan awal persekolahan ditingkatkan RM200 daripada RM150 appeared first on Scoop.





