
KUALA LUMPUR - Kadar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan kepada RM200 bagi setiap murid untuk sesi persekolahan 2027.
Selain itu, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan RM2,500 ke bawah sebulan dibenar menangguhkan bayaran balik pinjaman sepanjang tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kadar BAP dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, sekali gus memberi manfaat kepada 5.3 juta murid di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Menerusi kadar baharu itu, sebuah keluarga yang mempunyai empat anak bersekolah akan menerima bantuan berjumlah RM800.
Beliau berkata bantuan berkenaan akan disalurkan melalui pihak sekolah bagi membolehkan ibu bapa bertemu guru serta berbincang mengenai perkembangan akademik dan pembentukan sahsiah anak masing-masing.
Anwar mengumumkan langkah itu ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, peminjam PTPTN yang berpendapatan RM2,500 ke bawah sebulan dibenarkan menangguhkan bayaran balik pinjaman sepanjang 2027.
Sementara itu, peminjam yang memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya perlu membuat bayaran balik minimum RM50 sebulan.
Anwar berkata langkah berkenaan dijangka meringankan beban kewangan lebih 400,000 peminjam PTPTN di seluruh negara.
Kerajaan turut menawarkan diskaun bayaran balik sebanyak 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan konsisten membuat pembayaran, katanya. - Getaran, 9 Oktober 2026





