
Bayar langganan ChatGPT, Gemini atau perkhidmatan AI lain? Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa bayaran langganan perkhidmatan AI akan dimasukkan dalam skop pelepasan cukai pendapatan individu menerusi Belanjawan 2027.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen baru-baru ini.
Selain langganan AI, kerajaan turut menaikkan jumlah pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain menurunkan kadar cukai pendapatan bagi beberapa julat pendapatan bercukai.
Langganan AI termasuk dalam pelepasan cukai gaya hidup

Di bawah Belanjawan 2027, pelepasan cukai gaya hidup dierpluas untuk merangkumi langganan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI).
Ini bermakna pembayar cukai yang melanggan perkhidmatan seperti ChatGPT dan perkhidmatan AI berbayar lain berkemungkinan boleh menuntut bayaran tersebut di bawah kategori pelepasan cukai gaya hidup.
Pada masa ini, pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM2,500 merangkumi perbelanjaan yang layak seperti pembelian buku, komputer, telefon pintar dan tablet, selain langganan internet bulanan.
Bagaimanapun, kerajaan masih belum memberikan butiran lanjut mengenai jenis langganan AI yang layak dituntut atau sama ada had khusus akan ditetapkan untuk perbelanjaan berkaitan AI.
Selain langganan AI, kerajaan turut mengumumkan peluasan pelepasan cukai bagi pendidikan dan latihan kemahiran. Skop pelepasan ini akan diperluaskan untuk merangkumi semua bidang pengajian, selain yuran tuisyen anak-anak. Langkah ini bertujuan memberikan lebih banyak ruang pelepasan cukai kepada individu dan keluarga.
Pelepasan cukai gaya hidup turut diperluaskan untuk merangkumi perbelanjaan vaksinasi haiwan peliharaan dan kos pengambilan haiwan daripada pusat berdaftar.
Pelepasan cukai individu dinaikkan kepada RM12,000

Selain memperluaskan skop pelepasan cukai gaya hidup, kerajaan turut menaikkan jumlah pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000. Ini merupakan peningkatan sebanyak RM3,000 bagi pelepasan cukai individu asas yang boleh dinikmati pembayar cukai.

Pada masa sama, kerajaan mengumumkan pengurangan satu peratus bagi kadar cukai pendapatan individu untuk dua julat pendapatan bercukai. Kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 akan diturunkan daripada 19% kepada 18%.
Bagi pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 pula, kadar cukai akan dikurangkan daripada 25% kepada 24%.






