PUNB perkukuh pembiayaan usahawan

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 5:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PUNB perkukuh pembiayaan usahawan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bakal memperkukuh sokongan pembiayaan kepada usahawan bumiputera menerusi peningkatan dana kepada RM500 juta dalam Belanjawan 2027, berbanding RM350 juta, sebelum ini.

Peningkatan sebanyak RM150 juta itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap peranan PUNB dalam membantu usahawan mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing dalam industri berpotensi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, pihaknya menghargai kepercayaan kerajaan dan komited memastikan dana berkenaan disalurkan secara berintegriti, telus serta berlandaskan tata kelola yang baik kepada usahawan yang layak.

“Usahawan Bumiputera hari ini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh, bukan sekadar sebagai pembekal, tetapi sebagai peneraju industri yang memacu inovasi dan automasi bertaraf global.

“Tanggungjawab PUNB adalah untuk memastikan mereka mendapat sokongan setimpal dengan cita-cita tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PUNB turut memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan sokongan yang disediakan memberi kesan nyata kepada perkembangan perniagaan usahawan.

Peningkatan dana itu juga menyusuli komitmen kerajaan yang dizahirkan pada Majlis Perasmian SPark 2026 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan program pembiayaan PUNB serta menyatakan kesediaan mempertimbangkan peningkatan pembiayaan berdasarkan prestasi dan keberkesanan pelaksanaan mandat agensi itu.

Dalam pada itu, PUNB melihat tumpuan Belanjawan 2027 terhadap sektor semikonduktor, kecerdasan buatan, tenaga baharu dan industri bernilai tinggi sebagai peluang untuk usahawan Bumiputera memperluas penyertaan dalam sektor berkenaan.

Bagi menyokong usaha itu, PUNB melaksanakan penjajaran semula skim pembiayaan perniagaannya sepanjang tahun ini menerusi Prosper Grow, Prosper Great dan Prosper Impact/Nova.

PUNB turut memperkenalkan tiga produk baharu di bawah Prosper Grow, iaitu Prosper Grow Biz Express, Prosper Grow Fuel Up dan Prosper Grow Auto Biz bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan pada pelbagai peringkat perniagaan.

PUNB menegaskan komitmennya untuk terus menyokong agenda Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 melalui pembiayaan serta pembangunan kapasiti perniagaan yang mampan. – KOSMO! ONLINE

The post PUNB perkukuh pembiayaan usahawan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved