Manfaatkan RM130 juta peruntukan Belanjawan 2027 perkasa industri filem, muzik dan kandungan kreatif

LocalMovie
10 Oct 2026 • 6:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Manfaatkan RM130 juta peruntukan Belanjawan 2027 perkasa industri filem, muzik dan kandungan kreatif

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyambut baik peruntukan RM130 juta yang disediakan dalam Belanjawan 2027 bagi memperkasa industri filem, muzik dan kandungan kreatif negara.

Presidennya, Panchacharam Nalliah atau lebih dikenali sebagai Pansha berkata, peruntukan itu berpotensi merangsang pertumbuhan produksi tempatan, membuka peluang pekerjaan, meningkatkan daya saing penggiat industri serta memperluas pasaran kandungan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, keberkesanan pelaksanaan dasar dan inisiatif yang diumumkan merupakan faktor penting bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh dan berterusan oleh seluruh ekosistem industri kreatif, khususnya sektor perfileman.

“PFM berharap peruntukan RM130 juta itu dapat dilaksanakan menerusi mekanisme pembiayaan dan inisiatif sokongan yang berkesan, telus serta mudah diakses oleh penerbit tempatan,” katanya ketika mengulas ucapan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri pada Jumaat.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan peruntukan berkenaan perlu mengambil kira cabaran sebenar industri, termasuk peningkatan kos penerbitan, pemasaran dan pengedaran serta persaingan yang semakin sengit di pasaran domestik dan antarabangsa.

“Mekanisme pelaksanaan yang jelas, proses permohonan yang munasabah dan kriteria penilaian yang mengambil kira realiti operasi syarikat produksi penting bagi memastikan bantuan disalurkan secara berkesan kepada pihak yang memerlukan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Pansha juga berharap agar manfaat peruntukan berkenaan dapat dinikmati bukan sahaja oleh syarikat penerbitan, malah kru produksi, penggiat seni, tenaga kerja teknikal dan semua pihak dalam rantaian nilai industri kreatif.

Dalam pada itu, PFM menyambut baik pengumuman pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.

Menurut Pansha, inisiatif itu merupakan perkembangan yang dinanti-nantikan oleh industri perfileman susulan usaha advokasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi.

“Pelaksanaan pengecualian itu berpotensi meningkatkan kehadiran penonton ke pawagam, menyokong kutipan filem tempatan dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif kepada penerbit serta pengusaha pawagam.

“PFM berharap kerajaan negeri lain turut mempertimbangkan pengecualian duti hiburan yang sama, tertakluk kepada bidang kuasa dan dasar masing-masing, bagi memperluas manfaat sokongan berkenaan kepada industri filem negara,” ujarnya.

Katanya, PFM turut menggesa kerjasama strategik antara kerajaan, FINAS, persatuan perfileman di bawah Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) dan sektor swasta diperkukuh bagi memastikan dasar, insentif serta mekanisme pembiayaan memenuhi keperluan sebenar industri.

Menurutnya, pelaksanaan yang tersusun, konsisten dan telus dapat membantu memperkukuh keupayaan syarikat produksi tempatan, merangsang penghasilan karya berkualiti tinggi serta meningkatkan potensi komersial kandungan Malaysia.

“Sokongan dasar yang berkesan, pembiayaan bersesuaian, pembangunan bakat dan penerapan teknologi merupakan antara asas penting bagi membentuk industri perfileman yang mampan, profesional, inovatif dan berdaya saing.

Katanya lagi, industri kreatif bukan sahaja mencerminkan identiti, budaya dan kreativiti negara, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan harta intelek Malaysia yang bernilai tinggi.

“Dalam hal ini, PFM komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan, FINAS, GAFEMA dan pihak berkepentingan lain bagi mengemukakan cadangan serta maklum balas industri demi memastikan sektor perfileman Malaysia terus berkembang dan mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

The post Manfaatkan RM130 juta peruntukan Belanjawan 2027 perkasa industri filem, muzik dan kandungan kreatif appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved