Ban RTB Bukit Changgang berjaya ditutup, kerja pengukuhan masih diteruskan

26 Nov 2026 • 3:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Ban RTB Bukit Changgang berjaya ditutup, kerja pengukuhan masih diteruskan

SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor berjaya menutup bahagian ban yang pecah di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat, susulan kejadian banjir semalam.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerusi hantaran Facebook memaklumkan kerja penutupan itu berjaya dilaksanakan menggunakan sumber dan bahan sedia ada di lokasi.

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan mengawal aliran air serta mengurangkan risiko limpahan dan banjir di kawasan sekitar.

“Kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan ban sedang giat dilaksanakan melalui penambahan batu dan tanah.

“Langkah ini penting bagi memastikan struktur ban lebih kukuh dan stabil,” menurut hantaran itu.

Berdasarkan makluman setakat jam 6 pagi ini, kerja pembaikan ban yang pecah sebelum ini disasarkan siap dalam tempoh 24 jam.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan tumpuan ketika ini adalah terhadap kawalan aliran air, pengukuhan struktur ban dan pengurangan risiko limpahan.

Semalam, ban di RTB Bukit Changgang pecah buat kali kedua dalam tempoh lima bulan sehingga menyebabkan air melimpah ke kawasan kampung dan penduduk terjejas terpaksa berpindah.

Ahli Majlis Zon 12 Kuala Langat, P. Umananthini sebelum ini memaklumkan JPS sudah menjalankan kerja menambak tanah sejak tiga hingga empat minggu lalu bagi menangani masalah hakisan tanah di bawah struktur ban.

Bagaimanapun, ban berkenaan kembali pecah kira-kira jam 7.30 pagi semalam akibat arus air yang kuat.

Penduduk terjejas pada mulanya dipindahkan ke masjid di RTB Bukit Changgang sebelum ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved