
KUALA LANGAT: Seramai 793 penduduk daripada 241 keluarga terjejas selepas struktur ban atau benteng di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang pecah sehingga menyebabkan air melimpah ke kawasan kampung, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6 pagi, 25 November itu menyebabkan penduduk terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang yang dibuka pada pukul 1 tengah hari semalam.
Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Langat, Zarina Sulong berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan asas termasuk makanan dan minuman kepada semua mangsa yang ditempatkan di PPS.
“Kita menyediakan keperluan yang mencukupi seperti khemah, makanan dan minuman kepada 245 buah keluarga yang mendaftar di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memantau tahap kesihatan mangsa, khususnya bayi, ibu dalam pantang, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, mangsa yang memerlukan pemeriksaan atau rawatan lanjut akan dibantu petugas kesihatan yang ditempatkan di PPS setiap hari.
“Keutamaan kami ketika ini diberikan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS bagi memastikan segala keperluan mereka mencukupi,” katanya.
Katanya, antara mangsa yang ditempatkan di PPS termasuk ibu dalam tempoh berpantang, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Sekiranya ada mangsa yang tidak sihat atau memerlukan rawatan lanjut, mereka diminta mendapatkan pemeriksaan daripada petugas PKD yang berada di PPS.
“Jika memerlukan rawatan di hospital, pihak PKD akan menguruskan perkara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut bergantung kepada maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa.
Katanya, mangsa akan terus ditempatkan di PPS sehingga menerima arahan untuk berpindah atau dibenarkan pulang.
Selain itu, JKM turut mengadakan aktiviti sokongan psikososial kepada mangsa banjir termasuk kanak-kanak bagi membantu mengurangkan tekanan sepanjang berada di PPS.
“Antara aktiviti dijalankan ialah pengagihan kit kanak-kanak, permainan interaktif serta bantuan Psychological First Aid (PFA) atau bantuan psikologi awal kepada mangsa dewasa,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor merekodkan taburan hujan sebanyak 95 milimeter di kawasan RTB Bukit Changgang pada 25 November lalu.
Kejadian dipercayai berpunca daripada aliran air luar biasa deras dari kawasan Hulu Langat, selain fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang meningkatkan tekanan terhadap struktur benteng berkenaan.
JPS Selangor kini melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan menutup bahagian benteng yang pecah dan menyasarkan kerja itu diselesaikan dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Dua unit pam turut digerakkan bagi mempercepatkan proses pengepaman air keluar dari kawasan terjejas, selain menggunakan pam statik sedia ada.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membuka dua pos kawalan di kawasan terjejas bagi menyelaras operasi pemantauan dan pemindahan mangsa.
JBPM turut menyediakan pengangkutan menggunakan lori dan bot bagi membantu pemindahan kecemasan, khususnya membabitkan warga emas, OKU, bayi dan kanak-kanak.
Menurut JBPM, pemantauan serta rondaan berkala setiap satu jam dilaksanakan secara berterusan sejak semalam berikutan risiko air bertakung, bagaimanapun paras air pada pagi ini dilaporkan sedikit surut berbanding tengah malam tadi.
Penduduk turut dinasihatkan supaya tidak bermain atau meredah air banjir, terutama di kawasan parit, lubang dan laluan berarus deras bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – UTUSAN
The post 793 mangsa banjir ditempatkan di PPS Bukit Changgang appeared first on Utusan Malaysia.






