
SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membuka dua pos kawalan di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang bagi memantau keadaan banjir dan melaksanakan bantuan kecemasan.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata rondaan dilakukan setiap jam sejak semalam bagi memantau situasi banjir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua pos dilengkapi lori dan bot bagi memudahkan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS), terutama warga emas, ibu, bayi dan kanak-kanak.
"Setakat jam 8 pagi tadi, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 783 mangsa daripada 241 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang," katanya.
Beliau berkata paras air di kawasan terjejas menunjukkan sedikit penurunan berbanding malam tadi susulan operasi pam air dan kerja tebatan banjir yang hampir siap.
Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut diarahkan membaiki dan menutup bahagian ban yang pecah dengan sasaran siap dalam tempoh 24 jam.
“Usaha berkenaan diharap dapat membantu mengawal keadaan banjir dan mempercepatkan proses penurunan paras air di kawasan terjejas,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya kanak-kanak, supaya tidak bermain air banjir atau berhampiran longkang bagi mengelakkan kemalangan.






