Bandar Sunway sesak: Ramai masuk pejabat waktu ‘lunch’

15 Oct 2026 • 7:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bandar Sunway sesak: Ramai masuk pejabat waktu ‘lunch’

PETALING JAYA – Orang ramai terutama yang bekerja di Bandar Sunway dan kawasan sekitar memaklumkan mereka tiba pejabat pada waktu tengah hari susulan kesesakan luar biasa.

Menerusi tinjauan di aplikasi Threads, mereka berkongsi pengalaman terkandas dalam kesesakan lalu lintas walaupun keluar awal pagi dari rumah masing-masing.

Seorang pengguna @Bellasyukri mendakwa, kakinya kejang selepas tersangkut selama berjam-jam dalam kesesakan di Bandar Sunway.

“Saya alami trafik paling teruk hari ini. Keluar rumah pukul 7.40 pagi dan cuba teka pukul 1.30 tengah hari saya masih dalam kereta. Sempat mencelah pergi makan sekejap sebab lapar dan kaki dah ‘cramp’ (kejang).

“Tak sangka ini harinya aku menangis sebab hadap sesak. Bawa (kereta) automatik pun sampai ‘cramp’ kaki, nak tunggu bergerak boleh angkat handbrake (brek tangan) dulu,” katanya pada hantaran berkenaan.

Perkongsian itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang berkongsi pengalaman sama di kawasan sekitar Bandar Sunway.

“Kawan kerja saya dari Kajang ke Sunway. Keluar rumah pukul 6.30 pagi, sampai ofis (pejabat) pukul 12 tengah hari. Bad day ever (hari paling teruk),” kongsi Nursyafiqahhhs.

“Gerak dari rumah dekat Subang pukul 8 pagi lebih, nak dekat pukul 2 petang baru sampai office (pejabat) kat KL. Lama gila sangkut kat Sunway Pyramid. Sangkut situ saja mungkin dalam empat jam,” kongsi Nursyafiqahhhs.

“Sesak di Sunway antara paling teruk yang pernah saya alami. Kalau berlaku sesuatu di satu tempat, kesannya merebak ke tempat lain. Kesan domino memang gila. Saya pernah kena juga.

“Keluar rumah pada pukul 7 pagi, pukul 11 pagi masih tersangkut sesak. Bos bagi tahu mesyuarat dah habis, tapi saya belum lagi sampai. Rasa macam nak menangis. Sampai ofis, terus masuk waktu rehat tengah hari,” kata Thegreyelle.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, pengguna jalan raya di sekitar Bandar Sunway hari ini berdepan kesesakan luar biasa selepas beberapa laluan utama termasuk Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) mengalami trafik perlahan susulan kenderaan rosak dan kemalangan.

Menurut kemas kini trafik pada pukul 9.47 pagi, kesesakan di LDP berlaku selama lebih sejam dari Plaza Tol Puchong Selatan sehingga Jambatan Kabel berikutan sebuah kereta rosak di Kilometer (KM) 18.3.

Dalam laporan seterusnya, kesesakan lalu lintas luar biasa yang melanda sekitar Bandar Sunway sejak pagi tadi dilaporkan masih berlarutan sehingga petang, menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di atas jalan.

Memetik Astro Radio Traffic menerusi kemas kini pada pukul 12.50 tengah hari tadi memaklumkan, trafik di Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) bergerak perlahan dari SS17 menghala ke Sunway.

Menurut laporan itu, kesesakan berkenaan berpunca daripada sebuah bas rosak di lorong kiri susur keluar menuju ke LDP. – KOSMO! ONLINE

The post Bandar Sunway sesak: Ramai masuk pejabat waktu ‘lunch’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved