
PETALING JAYA – Kesesakan lalu lintas luar biasa yang melanda sekitar Bandar Sunway sejak pagi tadi dilaporkan masih berlarutan sehingga petang, menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di atas jalan.
Tinjauan menerusi perkongsian pengguna media sosial mendapati beberapa laluan sekitar Bandar Sunway, Subang Jaya dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dipenuhi kenderaan sehingga pergerakan trafik menjadi sangat perlahan.
Malah, beberapa pengguna mendakwa kesesakan yang bermula sejak waktu pagi masih belum pulih sepenuhnya selepas tengah hari.
Seorang pengguna, @fattinaishh mendakwa perjalanan dari Shah Alam ke SS14 yang lazimnya mengambil masa sekitar 10 minit bertukar menjadi kira-kira sejam.
“Saya keluar pejabat pukul 12 tengah hari dari OUA Shah Alam sebab ada janji temu doktor gigi pukul 12.30 tengah hari. Biasanya 10 minit sahaja ke SS14, tetapi tadi sejam. Jem apa pun tak tahu,” katanya.
Sementara itu, @nrl_omey berkata, keadaan sekitar Bandar Sunway masih sesak pada pukul 12.40 tengah hari walaupun laluan berkenaan kebiasaannya kembali lancar sekitar pukul 10.30 hingga 11 pagi.
“Biasanya pukul 10.30 hingga 11 pagi sudah lancar di bawah ini. Nah, ambil kau, pukul 12.40 tengah hari masih jem, tidak bergerak. Tol Bandar Sunway sampai ke atas sana,” tulisnya.
Keadaan sama turut dikongsikan @berry_anchun yang mendakwa kesesakan masih teruk sekitar pukul 12.30 tengah hari, khususnya bagi kenderaan yang mahu keluar menuju LDP.
“Polis trafik tolong, tak nak polis bantuan Sunway kendalikan trafik ketika keadaan teruk macam ini. Tolong polis trafik turun, kamu semua lebih pakar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, satu lagi perkongsian sekitar pukul 2 petang menunjukkan deretan kenderaan masih memenuhi jalan di hadapan Sunway Medical Centre (SMC), sekali gus memberi gambaran kesesakan berkenaan terus ‘melarat’ sehingga ke petang.
Beberapa gambar dan rakaman yang dikongsikan pengguna turut memaparkan kenderaan berbaris panjang di beberapa laluan sekitar Bandar Sunway dengan trafik bergerak perlahan.
Sementara itu, Astro Radio Traffic menerusi kemas kini pada pukul 12.50 tengah hari memaklumkan trafik di Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) bergerak perlahan dari SS17 menghala ke Sunway.
Menurut laporan itu, kesesakan berkenaan berpunca daripada sebuah bas rosak di lorong kiri susur keluar menuju ke LDP. – KOSMO! ONLINE
The post Jem di Bandar Sunway ‘melarat’ sampai ke petang appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] ‘Nak tengok kereta depan pun samar-samar di Simpang Renggam’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-15-at-10.52.48-AM-1024x766.jpeg)