.jpg)
MARANG - Seorang banduan berusia 38 tahun maut selepas dipercayai dipukul tiga rakan sepenjara di Penjara Marang.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, polis percaya serangan itu berpunca daripada hutang lama serta rasa tidak puas hati terhadap mangsa.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan daripada seorang warden penjara kira-kira jam 12.31 tengah hari semalam mengenai kejadian seorang banduan dipukul beberapa banduan lain.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat limpa pecah susulan kecederaan trauma akibat hentakan objek tumpul, termasuk dipercayai daripada tumbukan atau tendangan,” katanya.
Mohd Sofian berkata, polis telah mengenal pasti tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu, masing-masing berusia 21 hingga 35 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada hutang lama selain perasaan dendam atau tidak puas hati suspek terhadap mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan sebelum ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah,” katanya. - Getaran, 25 Ogos 2026






