Banduan maut dipukul tiga rakan sepenjara gara-gara hutang lama

25 Aug 2026 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banduan maut dipukul tiga rakan sepenjara gara-gara hutang lama
Seorang banduan maut selepas dipercayai diserang dan dipukul oleh tiga rakan sepenjara. Gambar kecil: Sofian

​MARANG - Seorang banduan maut selepas dipercayai diserang dan dipukul oleh tiga rakan sepenjara dalam kejadian di Penjara Marang di sini pada Isnin.

​Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Sofian Redzuan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang warden penjara pada jam 12.31 tengah hari.

​Menurutnya, kejadian berlaku membabitkan mangsa lelaki berusia 38 tahun dan tiga suspek lelaki berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun yang kesemuanya berasal dari Terengganu.

​"Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul oleh banduan lain di dalam bilik berkenaan sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang untuk mendapatkan rawatan awal.

​"Bagaimanapun, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurut ​Sofian, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi proses bedah siasat.

​Jelas beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan limpa koyak akibat hentakan benda tumpul.

​"Kecederaan itu dipercayai akibat tumbukan atau tendangan yang dialami mangsa ketika diserang.

​"Susulan itu, polis telah menahan tiga banduan lelaki yang telah dikenal pasti sebagai suspek yang menyerang dan memukul mangsa," katanya.

​Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada masalah hutang lama serta rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

​"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi membawa kesemua suspek ke muka pengadilan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved