
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seseorang yang bergelar bapa pasti sanggup melakukan apa sahaja demi membesarkan anak-anaknya.
Malah mereka juga sanggup berkorban tanpa mengira penat asalkan dapat memberikan yang terbaik kepada anak-anak khususnya dalam pendidikan, makanan serta tempat yang selesa.
Meskipun tugas itu berat, segalanya direlakan asalkan anak yang disayangi mendapat kehidupan yang selesa.
Seorang bapa tunggal meninggal dunia selepas terbabit kemalangan motosikal di Singapura
Terbaharu, kisah mengenai seorang bapa yang sanggup melakukan dua kerja demi membesarkan anak perempuannya telah menarik perhatian ramai selepas dia dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal di Singapura.
Lelaki yang dikenali sebagai Chan Yong Kang berusia 30 tahun itu telah terbabit kemalangan di Admiralty, Singapura pada 20 Jun yang lalu.
Dia yang juga seorang bapa tunggal itu sanggup berulang dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari dan membuat dua pekerjaan demi membesarkan anak perempuan yang berusia lima tahun.
Ingin pulang ke Johor Bahru sebelum terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan lain
Memetik Mothership, Yong Kang difahamkan ingin pulang ke Johor Bahru bersama rakan sekerjanya sebelum terbabit dalam kemalangan dengan beberapa kenderaan lain seperti motosikal dan lori di Jalan Admiralty.
Menurut rakan sekerjanya, Yong Kang dikatakan telah berlanggar dengan sebuah lori dan terjatuh ke atas jalan raya sebelum digilis lori sampah.
Jelas Shin Min Daily News, Yong Kang yang merupakan warga Malaysia sudah 11 tahun bekerja sebagai juruelektrik di Singapura.
Sifatkan diri seorang bapa tunggal dan membesarkan anak perempuan berusia 5 tahun
Media berkenaan turut memaklumkan, Yong Kang menyifatkan dirinya sebagai seorang ‘bapa tunggal’ menerusi profil di Facebook rasminya.
Isteri Yong Kang difahamkan sudah meninggalkan dia dan anak mereka sejak empat tahun lalu namun baru sahaja memulakan proses penceraian pada tahun lepas.
Kakak kedua kepada Yong Kang iaitu Chen Cailian, 36, memaklumkan dalam satu temubual adik lelakinya yang meninggal dunia itu merupakan anak ketiga daripada lapan beradik.
Malah dia yang merupakan abang paling tua bekerja di syarikat yang sama dengan adik mereka, Yong Shun, 29. Mereka dikatakan sering menunggang motosikal bersama-sama merentasi tambak pada setiap hari untuk keluar bekerja.
Kakak sifatkan Yong Kang seorang bapa yang rajin bekerja dan mahu anak ada kehidupan selesa
Cailian turut menyifatkan adiknya itu seorang yang begitu rajin bekerja.
“Kerana dia mempunyai ibu bapa yang sudah tua dan anak yang masih kecil untuk dijaga, dia selalu bekerja keras untuk menyara keluarga. Malah turut keluar untuk menambah pendapatan selepas waktu bekerja,” jelas wanita itu.
Adiknya, Yong Shun pula memaklumkan abangnya itu akan bangun seawal jam 4 pagi setiap hari untuk ke tempat kerja. Sebaik sampai ke tempat kerja dia akan tidur seketika sebelum memulakan kerja pada jam 7 pagi sehingga jam 3 petang.
Selesai kerja di Singapura, Yong Kang akan sambung jadi penghantar makanan sehingga jam 7 petang
Katanya selepas selesai waktu bekerja dan pulang ke Johor Bahru, Yong Kang akan menyambung pekerjaan sebagai penghantar makanan dan balik ke rumah untuk berehat pada jam 7 petang.
Perkara itu dilakukan kerana mahu anak perempuannya mempunyai kehidupan yang selesa selain mengumpul wang untuk perceraiannya.
Tambahnya lagi, Yong Kang juga sering pulang ke Batu Pahat pada setiap hujung minggu untuk meluangkan masa bersama anak perempuan kesayangannya.
Mahu dapatkan hak penjagaan anak Chan Yong Kang dan akan besarkan bersama adik-beradik lain
Bercakap mengenai anak perempuan Chan Yong Kang, Cailin berkata dia dan adik-beradik akan cuba mendapatkan hak penjagaan untuk membesarkannya bersama-sama meskipun mempunyai masalah kewangan.
“Dia hanya berusia lima tahun. Walaupun tidak memahami apakah itu kematian, namun dia tetap menangis apabila melihat jenazah ayahnya…”
Source:

![“Boleh Jadi Bom Tersembunyi” – Doktor Jelas Fakta & Kesan Beri Tiramisu Kepada Anak Kecil [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)