Bangun Sendiri Tanpa Disuruh, Perkara Ni Jadi Punca Anak Tiba-tiba Semangat Ke Sekolah

Family & Parenting
10 Apr 2026 • 12:12 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Bangun Sendiri Tanpa Disuruh, Perkara Ni Jadi Punca Anak Tiba-tiba Semangat Ke Sekolah

Zaman persekolahan merupakan fasa yang paling unik dalam hidup seseorang.

Bagi kita, ia adalah satu fasa yang dipenuhi dengan pelbagai warna-warni kehidupan dan memori yang akan kekal dalam kotak ingatan kita semua sampai bila-bila.

Siapa je yang boleh lupa betapa beratnya hendak buka mata untuk bangun pagi, kemudian kena mandi dengan air yang sejuk dan bersarapan dalam keadaan mengantuk sebelum ke sekolah?

Itu belum kira jika ada kerja sekolah yang belum siap, lagi banyak akal kita yang ibu ayah kena layan. Kebiasaan ini sering membuatkan ibu bapa perlu memujuk dan membantu anak-anak di awal pagi, setiap hari.

Namun, ada kalanya berlaku satu situasi pelik yang cukup menghairankan. Tiba-tiba sahaja, si anak boleh bangun sendiri dengan penuh semangat tanpa perlu dikejut berkali-kali.

Mood mereka berubah menjadi ceria, wajah berseri-seri, dan langsung tidak buat perangai seperti hari-hari biasa. Aneh, kan? 

Biasanya, ibu bapa akan menganggap bahawa mereka sekadar tidak sabar untuk bertemu dan bermain dengan rakan-rakan di sekolah. 

Anak teruja ke sekolah sebab ada sesuatu yang menarik di bilik darjah 

Mungkin ya. Tetapi ada satu rahsia yang mungkin ibu bapa belum tahu. Sebenarnya, anak-anak seronok hendak ke sekolah kerana kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang cikgu terapkan dalam kelas kini lebih menyeronokkan. 

Contohnya, pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) yang membuatkan anak-anak teruja hendak ke sekolah dan gembira untuk belajar setiap hari. 

image is not available

PAK ialah inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) yang diterajui oleh Unit Pantau MADANI bersama Yayasan Hasanah, yang dilancarkan secara rasmi pada 27 September 2024 untuk menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid di Malaysia.

Salah satu ciri unik yang ada pada PAK adalah penggunaan alat bantu mengajar seperti tablet yang membuatkan PdP lebih interaktif.

Selain itu, murid-murid juga tidak bergantung kepada buku teks semata-mata untuk memahami apa yang dipelajari.

Sebaliknya, mereka boleh belajar membaca dan mengira menerusi beberapa aplikasi permainan pembelajaran yang diperkenalkan menerusi program-program di bawah PAK.

Perkukuh asas 3M untuk murid dalam kelas pemulihan

Antara fokus utama PAK adalah memperkukuh asas membaca, menulis dan mengira (3M) menerusi Program 3M dalam kalangan murid Tahun 2 hingga Tahun 6 yang berada dalam program khas pemulihan KPM.

image is not available

Menerusi Program 3M ini, murid diberikan sokongan yang diperlukan untuk membina asas kukuh dalam pembelajaran mereka.

Tentu anda tertanya-tanya, mengapa 3M?

Sebenarnya, 3M ini bukan sekadar kemahiran asas semata-mata. Kemahiran membaca, menulis dan mengira ini ibarat kunci utama untuk membuka potensi besar yang ada dalam diri murid.

Tanpa penguasaan mantap dalam tiga kemahiran ini, murid akan kehilangan asas untuk memahami subjek atau mata pelajaran yang dipelajari di sekolah.

Kesannya, mereka mungkin tidak dapat bersaing dengan rakan sebaya yang mantap penguasaan 3M, sekali gus menjurus kepada keciciran jangka panjang.

Program 3M Sebahagian Daripada Program Anak Kita

Melihat hal ini, kaedah pembelajaran yang diterapkan di dalam kelas PAK sangat efektif kerana menggabungkan elemen bermain sambil belajar, penggunaan visual yang menarik dan aktiviti interaktif. Kaedah seperti inilah yang diyakini dapat membantu menarik minat murid untuk datang ke sekolah dan seterusnya menikmati kaedah pembelajaran baharu.

Contohnya penggunaan tablet sebagai alat bantu belajar. Seperti yang kita tahu, tablet bukan sekadar gajet hiburan, sebaliknya turut boleh digunakan sebagai alat pendidikan.

Visual, video dan audio yang dipancarkan melalui tablet lebih menarik perhatian murid, berbanding sekadar membaca teks semata-mata di atas buku.

Di SK Sungai Tiang, teknik nyanyian digunakan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program Anak Kita menerusi Modul RIMBA, bagi menjadikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih menarik dan mudah difahami oleh murid.

Asas literasi seperti membaca suku kata dan numerasi seperti tambah, tolak, darab serta bahagi diajar dalam bentuk permainan mudah alih yang lebih menarik minat murid dan menjadikan mereka tidak bosan di dalam kelas.

Tujuh buah negeri terlibat dengan pelaksanaan Program 3M

Setakat ini, pelaksanaan Program 3M tertumpu kepada sekolah-sekolah di tujuh buah negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah.

Secara keseluruhan, sebanyak 1,288 buah sekolah rendah dan seramai 2,538 orang guru serta 53,252 orang murid dalam kelas pemulihan terlibat dengan program ini.

Menariknya, pelaksanaan Program 3M yang berjalan selama 18 bulan turut dijayakan menerusi kerjasama erat dengan pelbagai rakan pelaksana strategik.

Sokongan yang diberikan oleh rakan pelaksana strategik ini amat penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan di lapangan.

Rakan strategik ini terdiri daripada badan profesional, universiti awam, organisasi pendidikan dan CSO yang berpengalaman dalam intervensi murid serta pembangunan kapasiti guru.

image is not available

Perlahan-lahan, murid-murid yang terlibat dengan PAK di bawah fokus memperkukuh 3M ini boleh membaca ayat penuh, mengira dengan lebih yakin dan seterusnya lebih bersemangat untuk belajar.

image is not available

Selain fokus kepada murid-murid yang berada dalam kelas pemulihan KPM, Program 3M turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan barisan pelaksana.

Guru-guru diberi ruang untuk berinovasi, membuat rancangan pengajaran yang berfokus dan mencipta persekitaran pembelajaran yang bermakna untuk murid-murid.

Kongsi Cikgu Weltiana dari SK Karakit Banggi, Sabah, latihan serta sokongan berstruktur yang dihadiri berjaya membina keyakinan beliau untuk menyesuaikan kaedah pengajaran, terutamanya di kawasan pedalaman.

Manakala bagi Cikgu Hamidah dari SK Peserai, Johor pula, Program 3M di bawah PAK ini membantu pendidik beralih daripada kaedah “chalk & talk” kepada kaedah PdP yang lebih moden.

Menerusi PAK, murid kini diajar melalui visual, teknologi dan pengalaman, manakala guru pula dibantu beralih kepada pendekatan yang inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.

Latihan dan sokongan berstruktur membina keyakinan untuk menyesuaikan kaedah pengajaran, terutamanya di kawasan pedalaman.

Hasilnya, pelaksanaan Program 3M ini sudah terbukti berjaya apabila dapat mengembalikan keyakinan murid yang sebelum ini berdepan kekangan tertentu di sekolah.

Para pendidik di sekolah-sekolah terlibat yang selama ini bertungkus-lumus menjayakan Program 3M menyaksikan sendiri kejayaan murid-murid hasil bimbingan di bawah program ini.

Murid bersemangat belajar, keyakinan pulih dan datang awal ke sekolah

Di SK Beladin, cikgu-cikgu di sana mempunyai idea yang bernas apabila melibatkan ibu bapa dalam sesi PdP sekali gus menghadirkan suasana berbeza di bilik darjah.

Dengan bimbingan guru, ibu bapa diberi peluang untuk mengajar anak masing-masing menggunakan alat bantu mengajar seperti tablet.

image is not available

Sikap murid di dalam kelas juga berubah, contohnya seorang murid yang dulunya pendiam menjadi lebih yakin untuk bersuara apabila ada ibu di sisinya.

Manakala di SK Ulu Ranan, Kanowit pula, tenaga pengajar di sana berkongsi dimana murid yang ‘nakal’ semasa PdP berjalan bertukar menjadi murid yang lebih fokus dan suka belajar.

Walaupun di awal pagi, murid-murid ini tiada masalah untuk memberi tumpuan terutamanya menerusi penggunaan aplikasi permainan pembelajaran seperti Kayam dan Enuma.

Dalam keterujaan mengumpul ganjaran menerusi aplikasi tersebut, mereka sebenarnya sedang mengasah skill literasi dan numerasi menerusi misi-misi yang perlu diselesaikan.

image is not available

Pelaksanaan PAK di SK Kapit, Kapit juga tidak kurang menariknya. Menurut guru-guru di sana, mereka sebelum ini berdepan dengan masalah kehadiran murid yang datang lewat ke sekolah.

Apabila PAK mula dilaksanakan dan murid-murid diberitahu mereka boleh menggunakan tablet untuk belajar, masalah tersebut berjaya diatasi.

Murid-murid yang tinggal di luar asrama kini hadir awal ke sekolah, malah lebih awal daripada guru sendiri, sekali gus memperbaiki rekod kehadiran dalam kalangan murid yang terlibat di sekolah tersebut.

Mereka juga begitu teruja untuk bermain dengan aplikasi permainan seperti Kayam untuk mengumpul ganjaran dalam permainan yang ditawarkan.

image is not available

Ia sekali gus membuktikan bahawa motivasi yang tepat boleh menyemarakkan semangat keterujaan dalam diri murid-murid untuk belajar.

Tiga kisah di atas hanyalah sebahagian kecil daripada kisah-kisah kejayaan PAK, namun sudah cukup menggambarkan betapa penting dan berpengaruhnya program tersebut kepada murid-murid yang terlibat.

image is not available

Setiap anak ataupun murid mempunyai cita-cita mereka sendiri, ada yang mahu jadi cikgu, ada yang mahu jadi doktor malah ada yang ingin terbang sebagai juruterbang.

Semuanya akan bermula di bangku sekolah lah, seperti murid-murid di SK Sungai Amang, mereka juga ingin melangkah lebih jauh menuju cita-cita mereka.

Selain Program 3M, PAK juga menyediakan program yang memberi sokongan kepada 19,000 calon SPM 2025 yang berisiko tercicir daripada sistem pendidikan, membina kembali keyakinan, memulihkan prestasi akademik dan merancang hala tuju mereka selepas SPM.

Nak tahu lebih lanjut tentang bagaimana PAK bantu ribuan murid di seluruh negara? Klik link untuk info lengkap.