
NAIROBI – Pasukan penyelamat mencari tujuh orang yang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan bertingkat dalam pembinaan runtuh di ibu negara Kenya, Nairobi semalam.
Rakaman video tular menunjukkan impak dahsyat dan kepulan debu tebal semasa bangunan 16 tingkat itu runtuh di kawasan perniagaan serta kejiranan padat penduduk di Eastleigh.
“11 kedai di tingkat bawah dan ruang bawah tanah dibuka semasa kemalangan berlaku. Tujuh orang dilaporkan hilang,” kata Menteri Dalam Negeri, Kipchumba Murkomen di platform X lewat semalam.
Menurutnya, 66 daripada 67 pekerja di tapak binaan itu selamat, manakala seorang lagi cedera.
Kontraktor dan jurutera sepatutnya memastikan kerja-kerja diselia oleh golongan profesional. Namun kebanyakan mereka tidak berbuat demikian.
Laporan Lembaga Pemeriksa Bangunan Kebangsaan mendapati 87 peratus bangunan yang diaudit di seluruh Kenya tahun lalu tidak memenuhi piawaian atau kelulusan yang diperlukan.
Terdapat 86 kejadian bangunan runtuh antara tahun 2009 hingga 2019 di Nairobi, yang mengorbankan dianggarkan 200 orang, manakala amalan rasuah membolehkan kontraktor mengambil jalan mudah atau melanggar peraturan. – AFP
The post Bangunan 16 tingkat runtuh, 7 tertimbus appeared first on Kosmo Online.

