Bangunan Bersejarah ‘Coliseum’ Di KL Nak Dijual, Harga Tak Didedahkan

3 May 2024 • 4:39 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Bangunan ikonik Coliseum yang mengandungi sebuah pawagam, kafe dan juga hotel yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah disenaraikan untuk dijual, namun harganya tidak didedahkan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh ejen hartanah Knight Frank Malaysia menerusi akaun LinkedIn mereka yang mempelawa pihak yang berminat untuk mendapatkan bangunan berkenaan untuk menghubungi mereka untuk maklumat lanjut.

Ketika ini, bangunan tersebut terdiri daripada sebuah pawagam yang masih lagi berfungsi manakala kafe dan hotel telah ditutup.

image is not available

Menurut pengumuman berkenaan, ejen hartanah berkenaan menjelaskan hartanah ikonik tersebut terletak di kawasan paling sibuk di Kuala Lumpur selain akses mudah ke bangunan tersebut yang berdekatan dengan jalan-jalan utama di pusat bandar.

Dibina pada tahun 1920, pawagam dengan gaya ‘Art Deco’ berkenaan merupakan pawagan tertua yang masih beroperasi di negara ini dan sekiranya diperlukan, pemilik baharu boleh memilih untuk mengosongkan pawagam berkenaan.

image is not available

Selain pawagam, bangunan tersebut juga mempunyai sebuah kafe dan hotel yang kini kosong dan terkenal dengan sejarah yang lebih satu abad usianya.

Dalam pada itu, ejen hartanah tersebut mendedahkan bahawa kedua-dua hartanah warisan tersebut boleh dibeli secara berasingan atau kedua-duanya.

Kafe Coliseum yang terkenal dengan hidangan masakan barat ala Hainan dan pelayan ‘warga emas’ itu menjadi tumpuan ramai termasuk pemimpin negara terpaksa menamatkan operasi pada tahun 2021 sejak perintah kawalan pergerakan Covid-19.

Untuk rekod, sehingga kini pawagam di bangunan tersebut sangat terkenal dengan menayangkan filem-filem popular dan terkini Bollywood dan juga Tamil.

Sumber : Scoop | LinkedIn

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.