
TOKYO: Jepun mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 melanda barat daya negara itu pada Selasa, menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada puluhan ribu isi rumah.
Gempampa yang berlaku pada 4.27 petang waktu tempatan di pulau Kyushu itu turut mencatat tahap tujuh, iaitu paras tertinggi pada skala gegaran Shindo Jepun, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Agensi itu berkata tsunami yang terhasil boleh mencapai ketinggian sehingga satu meter.
Penyiar NHK melaporkan ombak setinggi itu mungkin telah pun direkodkan.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata bahawa sejumlah penduduk mengalami kecederaan, bangunan runtuh dan kebakaran telah dilaporkan selepas gempa bumi kuat melanda barat daya negara itu.
“Kami masih menilai tahap kecederaan dan kerosakan harta benda tetapi saya telah dimaklumkan bahawa beberapa kecederaan telah pun dilaporkan.
“Gangguan bekalan elektrik dan kebakaran berlaku di beberapa kawasan, manakala jalan raya serta jambatan mengalami kerosakan dan beberapa bangunan runtuh,” katanya
Pihak Berkuasa Nuklear berkata, tiada sebarang keadaan luar biasa dikesan di loji kuasa nuklear setakat ini.
Kira-kira 45,000 isi rumah dan premis di wilayah Kumamoto Prefecture terputus bekalan elektrik, menurut syarikat utiliti tempatan, Tenaga Elektrik Kyushu.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa tiga reaktor nuklear yang sedang beroperasi di wilayah berkenaan terus berfungsi seperti biasa.
Kira-kira setengah jam selepas gempa berlaku, seorang petugas NHK yang memakai topi keledar melaporkan secara langsung bahawa gegaran masih berterusan, dengan keadaan di bilik berita bergoncang begitu kuat sehingga menyukarkan beliau untuk terus berdiri.
“Gegaran masih berterusan ketika saya bercakap sekarang. Termasuk saya sendiri, mungkin ada yang berasa jantung berdegup kencang,” katanya.
“Apabila gempa berlaku, gegarannya begitu kuat sehingga saya tidak dapat berdiri. Orang ramai diminta berwaspada kerana gegaran susulan mungkin akan terus berlaku,.” tambahnya. – AFP
The post Bangunan runtuh akibat gempa bumi kuat di Jepun appeared first on Utusan Malaysia.





