‘Bangunkan Kadamaian sebagai pintu masuk pelancongan baharu’

LocalTravel
16 Apr 2025 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mohd Izham Bin Hashim

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri digesa untuk memberi tumpuan kepada pembangunan Kadamaian sebagai pintu masuk pelancongan baharu dan tarikan tambahan kepada Gunung Kinabalu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan sektor pelancongan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata potensi pelancongan yang belum diterokai di daerah itu perlu diberi lebih perhatian, terutamanya ketika pembangunan pelancongan di Gunung Kinabalu lebih tertumpu kepada Kundasang di Ranau.

“Walaupun saya bersyukur dengan pertumbuhan ekonomi tempatan hasil pelancongan di Ranau, sudah tiba masanya kerajaan negeri meneroka peluang lain, seperti potensi yang ada di Kadamaian. Ini termasuklah membuka laluan pendakian ke Gunung Kinabalu dari Kadamaian lengkap dengan kemudahan yang diperlukan,” kata Ewon semasa ucapannya di Dewan Undangan Negeri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut mencadangkan pembangunan laluan pendakian baharu ke puncak Gunung Kinabalu melalui Kadamaian di samping penambahbaikan terhadap infrastruktur dan kemudahan pelancongan di daerah terbabit.

“Kita sedia maklum bahawa Puncak Low merupakan puncak tertinggi Gunung Kinabalu, namun tidak ramai tahu bahawa Sir Hugh Low sendiri pernah mendaki gunung itu melalui laluan dari Kadamaian,” ujar Ewon.

Mengulas isu kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Kundasang setiap kali musim cuti, Ewon mencadangkan agar pintu masuk pelancongan baharu dari Kadamaian dapat membantu mengurangkan masalah itu.

“Saya percaya dengan memberi tumpuan kepada potensi Kadamaian, kerajaan negeri dapat membangunkan sektor pelancongan secara lebih inklusif dan menyeluruh.

“Ini bukan sahaja akan merangsang ekonomi tempatan di Kadamaian, malah turut memberi manfaat kepada seluruh kawasan Kota Belud,” katanya.

Ewon mengakhiri ucapannya dengan menegaskan bahawa cadangan ini selari dengan visi kerajaan negeri untuk terus memajukan sektor pelancongan Sabah dengan menarik lebih ramai pelancong dan penggiat industri.