TAIPING - Seramai 17 guru dan tiga pelajar dari sekitar kawasan Matang di sini, dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk ke sekolah selepas laluan utama dinaiki air pada Isnin.
Bantuan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan ambulans APM itu dilakukan kira-kira jam 7.50 pagi melibatkan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Matang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang bagi membawa mereka melalui laluan yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan, laluan berkenaan dinaiki air kira-kira 0.5 meter.
"Perjalanan membawa guru dan pelajar terbabit mengambil masa antara 10 hingga 15 minit berikutan keadaan jalan yang terjejas akibat banjir," katanya.
Sementara itu, situasi banjir di Perak terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa apabila seramai 1,110 orang daripada 392 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Isnin.
Daerah Larut Matang dan Selama mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 911 orang daripada 333 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS dibuka sejak Ahad.
Antara kawasan terjejas di daerah berkenaan ialah Kampung Changkat Larah, Kampung Matang, Kampung Matang Gelugor, Kampung Air Kuning dan Kampung Ulu Sepetang.
Daerah lain yang turut terjejas akibat banjir ialah Hilir Perak dan Kerian.
Hilir Perak yang dilanda banjir sejak 6 November lalu masih menempatkan 186 mangsa di PPS.
Manakala, seramai 13 mangsa dari daerah Kerian berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah yang dibuka pada Ahad.






