Bekas Guru Didakwa Cabul 7 Pelajar Perempuan, Hadap 17 Pertuduhan

13 Nov 2026 • 2:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bekas Guru Didakwa Cabul 7 Pelajar Perempuan, Hadap 17 Pertuduhan

TELUK INTAN - Seorang bekas guru yang didakwa mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai pendidik untuk melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan.

Tertuduh, Zaidi Abbas, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap tujuh mangsa berusia antara 13 hingga 15 tahun dalam tempoh Mei 2024 hingga 7 Julai 2025.

Mengikut pertuduhan, perbuatan berkenaan didakwa berlaku bagi tujuan seksual di sebuah bilik khas dan kantin sebuah sekolah menengah di Langkap, di dalam sebuah kenderaan di kawasan sekitar serta ketika dalam perjalanan pulang dari Teluk Intan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan. 

Dia juga berdepan hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun serta minimum dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, mencadangkan jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan, selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Koh Shean Wai yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau memberi alasan, anak guamnya berpendapatan kira-kira RM4,000 sebulan dan perlu menanggung isteri, ibu serta empat anak yang masih bersekolah.

Peguam itu turut memaklumkan tertuduh merupakan orang kurang upaya (OKU), tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak berisiko melarikan diri.

Katanya, anak guamnya juga berhasrat membersihkan namanya menerusi proses perbicaraan di mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 14 Disember ini. - Getaran, 13 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved