
INANAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam Edna Majimbun menggesa kementerian berkaitan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah segera memperkukuh serta meninggikan tebing sungai di kawasan mudah banjir di kawasannya, susulan tiga kejadian banjir dilaporkan tahun ini.
Beliau berkata banjir berlaku pada 3 Jan, 1 Okt dan 19 Okt, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan ratusan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko.
“Keadaan di Kampung Kionsom khususnya amat membimbangkan kerana struktur gabion yang dipasang sebelum ini gagal memberikan perlindungan kukuh dan berkesan daripada arus sungai.
“Penduduk masih terdedah kepada risiko limpahan sungai, terutama ketika hujan lebat, manakala banjir berulang mengganggu kehidupan harian serta mengancam harta benda dan keselamatan awam,” katanya.
Edna menggesa kementerian berkaitan dan JPS Sabah memberikan perhatian serius terhadap perkara itu serta mengambil tindakan segera.
“Penduduk tidak seharusnya hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat sedangkan langkah sewajarnya boleh dirancang dan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Beliau turut meminta kementerian berkenaan menyelaras dan mengarahkan JPS Sabah menjalankan pemeriksaan teknikal segera bagi menilai keadaan tebing sungai, mengenal pasti lokasi berisiko serta menentukan langkah pengukuhan yang sesuai dan berkekalan.
“Keutamaan perlu diberikan kepada pengukuhan struktur perlindungan tebing sungai, kerja pembaikan sementara di lokasi terjejas serta peninggian tebing sungai jika perlu bagi mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan perumahan,” katanya.
Beliau juga menggesa penyelenggaraan sungai secara menyeluruh di sepanjang Kampung Kionsom, Kampung Pomotodon, Kampung Dambai, Kampung Malaka dan Kampung Tatahan bagi menangani mendapan pasir dan kelodak, sampah serta halangan lain yang boleh menjejaskan aliran sungai dan meningkatkan risiko banjir.
Menurut Edna, pemeriksaan berkala, pembersihan sungai dan kerja pengorekan mendapan perlu dilaksanakan berdasarkan penilaian teknikal yang menyeluruh, bukannya hanya selepas banjir berlaku.
Beliau menegaskan usaha tebatan banjir perlu meliputi keseluruhan jajaran sungai di kawasan terjejas dan tidak tertumpu pada satu lokasi sahaja.
Edna turut meminta kementerian dan JPS Sabah memberikan maklum balas jelas mengenai hasil pemeriksaan, langkah tebatan yang dirancang serta jadual kerja pengukuhan tebing dan penyelenggaraan sungai.
“Keselamatan penduduk mesti menjadi keutamaan. Kita memerlukan penyelesaian yang lebih kukuh dan berkesan bagi melindungi kawasan perumahan daripada ancaman limpahan sungai,” katanya.





