
SEGAMAT – Pembukaan laluan pintasan (bypass) ketiga bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 di Kampung Tebing Tinggi di sini, diharap dapat membantu mengurangkan risiko banjir yang kerap melanda daerah ini.
Projek bernilai RM461.01 juta itu merupakan antara usaha menangani masalah banjir di Segamat menerusi kerja-kerja menaik taraf sistem sungai dan infrastruktur tebatan banjir.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, pembukaan bypass berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan bagi mengurangkan risiko banjir serta melindungi kediaman dan harta benda penduduk setempat.
“Projek RTB Lembangan Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 itu melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 25 kilometer dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029.
“Ketika ini, kerja-kerja pembinaan laluan pintasan ketiga sepanjang 1.3 kilometer sedang giat dilaksanakan dan disasarkan siap sebelum musim monsun,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian pembukaan bypass ketiga RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 di Kampung Tebing Tinggi di sini hari ini.
Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, secara keseluruhan, projek berkenaan merangkumi kerja-kerja pelebaran dan pendalaman sungai, pembinaan ban serta kolam takungan banjir bagi meningkatkan keupayaan sistem saliran menampung aliran air ketika hujan lebat.
Jelasnya, pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berisiko banjir, khususnya ketika musim tengkujuh yang sering menyebabkan limpahan air dan menjejaskan kehidupan harian masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE
The post Bypass 3 RTB Sungai Muar iktiar masalah banjir di Segamat appeared first on Kosmo Online.






