Banjir Besar Landa China, Lebih Sejuta Penduduk Terjejas 

6 Aug 2023 • 8:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Taufan Doksuri terlebih dahulu membadai wilayah Fujian di tenggara China sebelum mengubah haluan ke Hebei - gambar AP

BEIJING – Lebih daripada sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di wilayah Hebei di timur laut China, selepas kawasan itu dilanda banjir besar. 

Media tempatan melaporkan, kerajaan telah memberi amaran bahawa paras air di beberapa lokasi mungkin mengambil masa lebih sebulan untuk kembali surut. 

Pada 28 Julai lalu, Taufan Doksuri terlebih dahulu membadai wilayah Fujian di tenggara China sebelum mengubah haluan ke utara negara itu. 

image is not available
Penduduk yang terjejas terpaksa dipindahkan menggunakan jengkaut - gambar REUTERS

Ia membawa bersama hujan lebat ke Hebei, iaitu wilayah yang menempatkan 75 juta penduduk dan berjiran dengan Beijing serta Tianjin. 

Menurut pihak berkuasa China, banjir besar tersebut bukan sahaja menyebabkan penduduk terkandas, tetapi ia turut menghanyutkan jambatan serta lebuh raya, dan meragut 30 nyawa setakat ini. 

Hujan lebat di Beijing itu adalah yang terburuk dalam tempoh 140 tahun, menjadikan ia sebagai medan untuk menguji kapasiti pemerintah dalam menangani cuaca ekstrem, memandangkan pakar telah memberi amaran bahawa fenomena seumpama itu akan menjadi lebih kerap akibat perubahan suhu global.  

Media tempatan melaporkan, penduduk yang diselamatkan dipindahkan ke pusat penempatan sementara di hotel dan sekolah, 

Hantaran di media sosial pula memaparkan orang ramai menghulurkan derma di semua pusat penempatan terlibat, atau mendirikan gerai bagi menyediakan makanan untuk semua mangsa. 

@frontline_focus NE China's Heilongjiang Province is the latest area to suffer heavy rainfall caused by #typhoon. A video shot today showed some houses in a forest farm being carried away by #floods. #doksuri #ExtremeWeather #China #Chinese #Rain #Weather #NaturalDisaster #nature #forest #fyp ♬ original sound - Frontline Focus

Pejabat daerah sekitar Tianjin pula menggesa penduduk memberi bantuan tempat tinggal kepada saudara mara atau jiran yang terjejas. 

Sejumlah besar penduduk terjejas di Hebei, sebuah hub perindustrian terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas pihak berkuasa melepaskan air banjir yang terlebih dahulu menenggelamkan kawasan tadahan dan laluan air. 

Sementara itu, kerajaan tempatan semalam dipetik sebagai berkata, sekurang-kurangnya 10 dilaporkan terbunuh di Baoding, iaitu bandar utama di Heibi, manakala 18 lagi dilaporkan hilang. 

Hujan lebat di bandar terbabit memaksa sekitar 627,000 penduduk dipindahkan dan menjejaskan 1.1 juta yang lain. - Agensi