
KUALA LUMPUR: Isteri Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd. Sani Harul berharap dapat bertemu semula dengan suaminya yang masih dilaporkan hilang dalam bencana banjir di Nepal.
Aziela Shaharuddin berkata, sudah lima hari dia sekeluarga tidak menerima sebarang khabar berita daripada Mohd. Sani dan pasukannya yang berada di Nepal, namun tidak pernah berhenti agar kesemua mereka ditemukan dengan selamat.
Menerusi hantaran di Threads, Aziela berkata, keluarganya kini hanya mampu menunggu dan berharap agar Mohd. Sani berada dalam keadaan selamat serta dilindungi daripada sebarang bahaya.
“Ya Allah, Engkau tahu betapa kami merinduinya. Engkau tahu betapa kami ingin melihat wajahnya semula. Kami ingin memeluknya semula.
“Mungkin ada kata yang belum sempat kami ucapkan kepadanya. Mungkin ada perkara yang kami harap masih diberi kesempatan untuk kami lakukan bersamanya,” katanya.
Menurutnya, seluruh keluarga kini berkumpul dengan penuh harapan, kerinduan dan ketakutan sementara menanti perkembangan mengenai keberadaan serta keadaan suaminya.
Katanya, keluarganya hanya mampu berusaha dan berdoa sebelum menyerahkan keselamatan Mohd. Sani kepada Allah SWT sambil berharap suaminya diberikan kekuatan serta kesabaran untuk terus bertahan.
“Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui. Engkau tahu di mana dia berada. Engkau melihatnya ketika mata kami tidak mampu melihatnya. Engkau mendengar suaranya ketika telinga kami tidak mampu mendengarnya.
“Engkau mengetahui keadaannya ketika kami hanya mampu menunggu dan berharap. Ya Allah, kami serahkan dia kepada-Mu,” katanya.
Aziela turut berdoa agar jika masih ada ruang untuk mereka bertemu semula, Allah SWT mengizinkan pertemuan itu berlaku dan memberikan peluang kepada keluarganya untuk melihat wajah serta mendengar suara Mohd. Sani kembali.
“Dan izinkan kami sekeluarga bersyukur kepada-Mu atas kepulangannya,” katanya.
Dalam hantaran sama, dia memohon agar Mohd. Sani dilindungi daripada arus banjir, runtuhan, kesejukan, kecederaan serta segala bahaya yang tidak mampu dilihat dan dijangka oleh keluarganya.
Aziela turut mendoakan agar usaha pasukan yang sedang mencari dan menyelamat Mohd. Sani dipermudahkan serta diberikan petunjuk untuk menemui lokasi suaminya.
“Pimpinlah mereka ke tempat dia berada. Tunjukkanlah kepada mereka jalan untuk sampai kepadanya. Jika ada seseorang yang berada dekat dengannya dan mampu membantu, gerakkanlah hati orang itu untuk menemui dan menyelamatkannya.
“Kami tidak meminta sesuatu yang besar, Ya Allah. Kami hanya memohon beliau untuk kembali kepada keluarganya. Maka Ya Allah, kabulkanlah doa kami,” katanya.
Mohd. Sani antara 49 rakyat Malaysia yang dikenal pasti diuruskan oleh agensi pelancongan Leaf Holiday, Fishtail, Dream Tibet Travel and Tour, serta Kailash Journeys, sebagai individu yang belum dapat dikesan.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Sani dan seorang lagi anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) iaitu Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM Lapangan Terbang Subang dilaporkan hilang ketika menyertai misi trekking menaiki jip di Nepal.
Mereka disedari hilang apabila gagal dikesan akibat perhubungan terputus susulan tragedi banjir dahsyat melanda Nepal pada 26 Ogos lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan pendaki. – UTUSAN
The post Banjir di Nepal: `Ya Allah, Engkau tahu betapa kami merinduinya’ appeared first on Utusan Malaysia.




