“Ya Allah, Kembalikanlah Beliau Kepada Keluarganya” – Isteri Muhammad Sani

31 Aug 2026 • 11:49 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

“Ya Allah, Kembalikanlah Beliau Kepada Keluarganya” – Isteri Muhammad Sani

“Ya Allah, kembalikanlah beliau kepada keluarganya.”

Itu antara doa yang dititipkan Aziela Shaharuddin, isteri kepada Timbalan Pengarah Bahagian di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Sani Harul yang masih belum dapat dihubungi susulan tragedi banjir kilat di Nepal.

Menerusi hantaran di Threads, Aziela memaklumkan hari ini memasuki hari kelima tanpa sebarang khabar berita daripada suaminya.

Dalam perkongsian itu, Aziela bersama ahli keluarganya memanjatkan doa agar Muhammad Sani dilindungi dan dipermudahkan untuk ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui. Engkau tahu di mana dia berada. Engkau melihatnya ketika mata kami tidak mampu melihatnya.

“Di saat kami tidak mampu berada di sisinya, jadilah Engkau yang menjaganya. Di saat kami tidak mampu membantunya, bantulah dia dengan pertolongan-Mu,” tulisnya.

Aziela turut memohon agar suaminya dilindungi daripada segala bahaya susulan bencana berkenaan, selain diberikan kekuatan sekiranya berada dalam keadaan sukar.

“Jika dia dalam kesusahan, bantulah dia. Jika dia dalam bahaya, selamatkanlah dia. Jika dia ketakutan, tenangkanlah hatinya.

“Lindungilah dia daripada arus banjir, runtuhan, kesejukan, kecederaan dan segala bahaya yang kami tidak mampu lihat dan tidak mampu jangka,” katanya.

Dalam doa sama, Aziela turut menitipkan harapan agar usaha pasukan SAR dipermudahkan dan mereka diberikan petunjuk untuk menemukan suaminya.

“Pimpinlah mereka ke tempat dia berada. Tunjukkanlah kepada mereka jalan untuk sampai kepadanya.

“Maka kami mohon, Ya Allah, dengan sepenuh hati kami, kembalikanlah beliau kepada keluarganya,” ujarnya.

Aziela turut meluahkan harapan untuk dapat bertemu, mendengar suara dan memeluk suaminya semula.

“Ya Allah, kami tidak tahu apa yang sedang berlaku, tetapi Engkau tahu. Kami tidak tahu di mana dia berada, tetapi Engkau tahu. Kami tidak mampu mencapainya, tetapi Engkau Maha Berkuasa untuk mencapainya,” katanya.

Baca juga:

Dua Pegawai Bomba Masih Belum Dapat Dihubungi

Sebelum ini, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Hisham Mohamad mengesahkan Muhammad Sani antara dua pegawai bomba yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir dahsyat di Nepal.

Seorang lagi ialah pegawai Akademi JBPM Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke Nepal untuk menuju ke Everest Base Camp (EBC), selepas bertolak pada malam Isnin minggu lalu.

Ketika ini, usaha mengesan mereka masih dijalankan susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda kawasan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved