Banjir Nepal: Bapa gagal dihubungi, keluarga terus berdoa

29 Aug 2026 • 5:14 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Banjir Nepal: Bapa gagal dihubungi, keluarga terus berdoa

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Mures, anak sulung kepada warga emas K Balasingam yang masih gagal dihubungi susulan bencana banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet pada Rabu lalu berkata hanya doa dan kesabaran menjadi penguat semangat mereka sekeluarga pada masa ini.

Mures, 40, berkata perjalanan bapanya yang berusia 71 tahun menunaikan upacara keagamaan di Gunung Kailash, Tibet bertukar menjadi igauan ngeri kepada keluarga selepas kali terakhir dilihat aktif di aplikasi WhatsApp pada pagi hari kejadian.

“Bapa saya menyertai kumpulan bersama-sama 16 rakyat Malaysia bagi melaksanakan upacara keagamaan dan tiba di sana pada 23 Ogos.

“Bapa sepatutnya pulang ke Malaysia pada 6 September namun sehingga kini kami sekeluarga masih tidak mendapat sebarang maklumat selepas kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mures berkata bapanya, bekas ahli perniagaan dalam bidang pengangkutan yang berasal dari Negeri Sembilan sangat aktif dalam aktiviti riadah dan keagamaan meskipun sudah berusia.

Beliau berkata keluarga telah menghubungi pelbagai pihak bagi mendapatkan maklumat terkini termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan polis.

“Kami masih bersabar dan tidak tahu berapa lama perlu menunggu perkembangan mengenai bapa.

“Kami juga mendapatkan maklumat daripada seorang ahli kumpulan yang berada di Nepal namun sampai sekarang tiada berita terbaharu dan terus berdoa supaya bapa selamat,” katanya.

Balasingam antara 17 rakyat Malaysia dalam kumpulan yang diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours & Travels yang berpangkalan di Nepal.

Kementerian Luar hari ini memaklumkan 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved