
KINABATANGAN: Berbaki beberapa hari lagi, sesi persekolahan baharu akan bermula, namun ramai mangsa banjir di Kampung Pengkalan Bukit Garam masih belum membuat sebarang persediaan.
Antara mangsa banjir Kampung Pengkalan Bukit Garam yang terjejas teruk ialah Seraya Garai, 53, yang mempunyai empat anak masih bersekolah dan meluahkan rasa gusar kerana masih belum membuat sebarang persiapan.
Advertisement“Banjir kali ini agak teruk kerana sudah berlarutan selama tiga minggu. Pendapatan kami sebagai nelayan dan petani terjejas kerana tidak dapat turun mencari rezeki. Kebun juga ditenggelami air.
“Bila ada kekangan mencari rezeki, pendapatan kami tidak cukup untuk memenuhi keperluan empat anak kami yang akan memulakan sesi persekolahan pada 17 Februari ini.
SPONSORED CONTENT How Spritzer’s silica rich natural mineral water makes your skin healthier When it comes to skincare, the first thought on our minds would be beauty products such as serums, creams, and masks. However, beauty experts and even researchers have stated that drinking more water can be just as crucial for your skin's health. Read more “Kami pun baru sahaja kembali ke rumah setelah hampir seminggu berada di Balai Raya Kampung Pengkalan Bukit Garam, dan dipindahkan lagi apabila balai raya juga dinaiki (air) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bukit Garam di mana kami tinggal selama hampir dua minggu,” katanya.
Seraya ditemui wartawan Daily Express pada Rabu ketika menjual kuih muih di tepi jalan dengan keadaan jalan masuk ke Kampung Pengkalan Bukit Garam yang masih ditenggelami air.
AdvertisementKetika diajukan soalan mengenai perpindahan kekal dari kampung yang saban tahun menghadapi situasi banjir ketika musim tengkujuh, Seraya berkata dia dan keluarga akan berpindah sekiranya terdapat rumah selayaknya diperuntukkan kerajaan untuk mereka.
“Kami sebenarnya sudah bosan setiap kali musim tengkujuh, rumah kami ditenggalami air, jadi kami berbesar hati dan berharap pihak kerajaan dapat melihat keadaan kami. Kami juga bersedia untuk berpindah sekiranya ada rumah disediakan untuk kami,” tambahnya lagi.
AdvertisementUntuk rekod, kerajaan sebelum ini telah menyediakan penempatan bagi penduduk kampung tersebut berpindah namun kurang sambutan positif.
Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Johainizamshah Johari, kebanyakan penduduk Kampung Pengkalan Bukit Garam ini berstatus daif dan sumber rezeki mereka adalah melalui hasil sungai.
“Kerajaan memang telah menyediakan penempatan untuk mereka tetapi masih ramai yang memilih untuk kekal menetap di kampung ini kerana lebih mudah mencari rezeki.
“Penempatan yang diperuntukkan untuk mereka itu jauh di darat, sedangkan ramai penduduk kampung ini tidak mempunyai kenderaan untuk mereka pergi ke sungai setiap kali mencari rezeki sekiranya berpindah ke penempatan tersebut.
“Namun banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 15 tahun lepas. Paras banjir lebih tinggi dan mengambil masa yang lama untuk surut. Jadi sudah tiba masanya kerajaan mencari solusi untuk penduduk kampung ini bagi jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan, Dr Dalmansah Tahil ketika ditemui berkata pihaknya akan memberi kelonggaran bagi pelajar yang terjejas banjir.
“Saya telah mengarahkan pengetua dan guru besar untuk mengenal pasti pelajar sekolah mereka yang terjejas banjir. Pelajar ini juga akan diberi kelonggaran untuk hadir ke sekolah dengan memakai pakaian sukan.
“Yang penting, pelajar terjejas banjir ini hadir dalam keadaan kemas dan rambut rapi pada pembukaan sekolah nanti. Minggu pertama kebiasannya tidak ada sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Jadi waktu ini kita akan ambil untuk mengenal pasti pelajar terjejas banjir, sekali gus mengatur sebarang keperluan yang boleh kita salurkan bagi meringankan beban pelajar ini,” katanya lagi.
Melalui tinjauan wartawan Daily Express, laluan utama masuk ke Kampung Pengkalan Bukit Garam masih tidak dapat dilalui kereta dan hanya bot yang digunakan sebagai mod pengangkutan ketika ini.
Pihak berkuasa juga masih belum memberikan kebenaran pulang ke rumah untuk sebahagian besar penduduk kampung.
Penduduk kampung yang terjejas masih berlindung di dua PPS iaitu PPS SK Bukit Garam dan PPS SK Sukau. Kedua-dua PPS yang berada di sekolah ini akan dipindahkan sekiranya sesi persekolahan bermula dan banjir masih belum surut.





