Banjir kilat: 92 rumah di Kampung Melayu Subang terjejas, tiga dipindahkan

LocalEnvironment
2 Nov 2026 • 9:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Banjir kilat: 92 rumah di Kampung Melayu Subang terjejas, tiga dipindahkan

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Tiga mangsa termasuk seorang lelaki warga emas yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang bayi ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat yang melanda Kampung Melayu Subang petang ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata dua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Siantan, manakala identiti mangsa ketiga masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.18 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi pada 5.33 petang.

“Komander operasi melaporkan terdapat banjir dengan kedalaman air sehingga paras pinggang di beberapa lorong di Kampung Melayu Subang.

“Keadaan paras air bagaimanapun dilaporkan semakin menurun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashrul Riezal berkata banjir itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan, iaitu Lorong Merbau melibatkan 30 rumah, Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50).

Beliau berkata terdapat penduduk yang enggan meninggalkan kediaman masing-masing walaupun telah diarahkan berpindah oleh pihak bomba.

“Operasi mencari dan menyelamat turut dijalankan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap dalam banjir berkenaan,” katanya.

Sebanyak lima anggota dengan sebuah jentera dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved