
KUALA LUMPUR, 18 NOV: Usaha menangani masalah banjir kilat di negara ini tidak boleh diletakkan di bahu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan bersepadu, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dalam memastikan sistem perparitan diselenggara dengan baik.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kelemahan dalam pengurusan dan penyelenggaraan sistem perparitan oleh PBT dikenal pasti sebagai antara punca utama yang menyumbang kepada kejadian banjir kilat walaupun paras air sungai tidak melimpah pada musim tengkujuh.
Beliau berkata longkang yang tidak dibersihkan secara menyeluruh boleh menyekat laluan air, sekali gus menjejaskan keupayaan sistem perparitan menampung aliran air ketika hujan lebat.
“Maknanya, rangkaian antara kita semua sebenarnya kena melaksanakan secara bersama supaya mengelakkan perkara-perkara itu dan kita cuba sebaik mungkin supaya perkara-perkara ini tidak akan berlaku,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi penyelesaian jangka panjang di peringkat nasional, beliau berkata sebanyak 151 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM28.1 bilion.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.52 bilion bagi pelaksanaan Program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan sebagai usaha menurunkan kadar NRW negara kepada 31.7 peratus pada tahun depan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM418.95 juta disediakan khusus untuk Program Bayaran Imbuhan Balik kepada operator air yang layak di seluruh negara.
Menurut Abdul Rahman, peruntukan itu memberi tumpuan kepada penggantian paip kritikal dan penyelesaian secara holistik, termasuk pewujudan Kawasan Pemeteran Daerah (DMA), pengurusan tekanan serta pengesanan kebocoran yang aktif.
“Kerajaan meneruskan Program NRW Kebangsaan 2025 hingga 2030 dengan memberi tumpuan kepada penggantian paip kritikal dan penyelesaian secara holistik, termasuk pewujudan DMA, pengurusan tekanan serta pengesanan kebocoran aktif,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM5,329,612,900 yang diperuntukkan kepada PETRA dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 32 Ahli Parlimen.






