Banjir kilat di Subang, Ara Damansara dan Kota Damansara

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 5:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir kilat di Subang, Ara Damansara dan Kota Damansara

PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar Subang, Ara Damansara, Kota Damansara dan Subang Bestari (Subest) dilanda banjir kilat.

Berdasarkan perkongsian pengguna media sosial, air dilaporkan mula naik dengan pantas di beberapa laluan sehingga menyebabkan sebahagian kenderaan terpaksa memperlahankan perjalanan dan ada yang berhenti kerana bimbang meredah kawasan dinaiki air.

Antara lokasi yang didakwa terjejas termasuk sekitar LRT USJ7, Summit USJ, Ara Damansara, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang Airport), Kota Damansara serta beberapa laluan di Subang Bestari.

Seorang pengguna Threads, @shuumustafa berkata, hujan terlalu lebat di sekitar Subang sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

“Ya Allah, hujan terlalu lebat di Subang ini sampai banjir. Hujan begini elok duduk rumah tetapi kena keluar sebab kerja.

“Mujur bawa kenderaan pacuan empat roda, bolehlah redah, tetapi kilat-kilat ini menakutkan. Abang-abang Grab, Foodpanda dan semua yang bawa motosikal, semoga semua selamat,” katanya.

Sementara itu, pengguna @jordanxin meminta orang ramai mengelakkan laluan antara Subang Airport dan Ara Damansara selepas mendakwa keadaan banjir semakin buruk serta terdapat banyak kenderaan yang sudah berhenti.

“Elakkan Subang Airport-Ara Damansara. Keadaan banjir semakin buruk dan banyak kereta sudah berhenti. Semoga semua selamat,” katanya.

Situasi sama turut dikongsikan pengguna @mawi_simedarby_autoselection yang memaklumkan paras air di Ara Damansara mula meningkat susulan hujan lebat petang ini.

Di Subang Bestari pula, pengguna @ainunkhriyah memberi amaran kepada pengguna jalan raya mengenai beberapa lokasi yang didakwa terjejas banjir kilat.

Menurutnya, kawasan berkenaan termasuk lampu isyarat berhampiran HELP dari arah Pejabat Tanah, hadapan Pejabat Tanah, Jalan RRIM serta laluan menghala ke Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) sekitar Star Avenue.

Keadaan turut membimbangkan penduduk di Kota Damansara apabila beberapa rakaman yang dikongsikan menunjukkan kawasan parkir dan jalan di sekitar kediaman mula digenangi air.

Pengguna @memenadeq mendakwa hujan lebat berlaku sejak kira-kira pukul 3 petang dan bimbang kenderaannya ditenggelami air sekiranya paras air terus meningkat.

“Dari pukul 3 tadi hujan lebat sangat. Kereta saya macam hendak tenggelam sahaja,” katanya.– KOSMO! ONLINE

The post Banjir kilat di Subang, Ara Damansara dan Kota Damansara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved