
PETALING JAYA: Puncak Alam, Shah Alam dan Klang kembali dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan sejak petang tadi, sekali gus menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.
Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial, antara kawasan yang terjejas ialah laluan di Persiaran Puncak Alam 6 di Proton bersebelahan Tropicana Alam menghala ke Eco Grandeur, Alam Suria serta kawasan sekitar Hillpark, Puncak Alam.
Sementara di Shah Alam Portal Pintar Lensa Shah Alam (i-LenSA) melaporkan paras air di Taman Desa Kemuning dan Bukit Rimau telah melebihi paras bahaya.
Seorang pengguna media sosial, cponghazmil berkongsi keadaan hujan lebat yang masih berterusan di Puncak Alam sejak pukul 2 petang tadi, selain beberapa laluan di kawasan itu mula dinaiki air.
“Antara kawasan yang sudah mula dinaiki air ialah kawasan hadapan kedai makan Zombie, laluan ke Econsave, Alam Suria dan persimpangan lampu isyarat berhampiran Lotus’s,” katanya menerusi aplikasi Threads.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, siti_sariff berkongsi keadaan laluan di hadapan Proton yang mula dinaiki air sehingga menyebabkan beberapa kenderaan berpatah balik pada pukul 4.55 petang.
Menurutnya, laluan di sebelah Tropicana masih boleh dilalui, namun air mula naik di susur keluar dari kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, nuratikajasni_aj141 menyenaraikan beberapa kawasan lain yang dilaporkan mula dinaiki air termasuk lampu isyarat Bandar Bukit Raja, Central i-City, Pasar Besar Meru, Kota Kemuning serta laluan dari Klang ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Menurutnya, laluan dari Setia Alam menghala ke Klang dan Bulatan Berkeley di Klang turut antara kawasan yang perlu diberi perhatian pengguna jalan raya.
Seorang lagi pengguna, hafizieruslan turut memuat naik keadaan trafik di lampu isyarat hadapan i-City menghala ke Klang yang dilaporkan sesak, selain menasihatkan pengguna jalan raya supaya mencari laluan alternatif.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air dan mengelakkan laluan berisiko, selain mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan jalan sebelum memulakan perjalanan.
Semalam, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim dilapor memaklumkan tiga pam berkapasiti tinggi di tempatkan persimpangan Bukit Raja, Klang bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan tersebut apabila hujan lebat.
Katanya, tindakan tersebut diambil apabila kawasan berkenaan dipercayai menjadi lembah yang mengumpulkan air dari kawasan Bandar Baru Bukit Raja dan i-City menyebabkan lokasi itu kerap dilanda banjir kilat. – UTUSAN
The post Banjir kilat kembali melanda Shah Alam, Puncak Alam, Klang appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Puncak Alam dah jadi pulau’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-17.42.06-1024x667.jpeg)

![[VIDEO] Banjir di Shah Alam, pikap dan lori pun ‘tersangkut’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-16.51.40-1024x768.jpeg)