
SHAH ALAM, 17 NOV: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam kembali beroperasi pada jam 6.43 petang tadi selepas mengalami kelewatan susulan insiden pokok tumbang di Stesen UiTM Shah Alam.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan pasukan teknikalnya selesai membersihkan sisa serpihan pokok yang memasuki kawasan landasan bagi memastikan operasi tren kembali stabil dan selamat digunakan.
“Pasukan operasi Rapid KL akan terus memantau operasi sistem dan pergerakan tren bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil, selamat serta beroperasi dengan lancar,” menurut kenyataan itu.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang supaya merujuk saluran media sosial rasminya atau aplikasi MyRapid PULSE untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan.
Terdahulu, perkhidmatan laluan berkenaan mengalami gangguan selepas sebatang pokok tumbang akibat cuaca buruk dan memasuki kawasan landasan berhampiran Stesen UiTM Shah Alam kira-kira jam 5.22 petang.
Kejadian itu menyebabkan kelewatan operasi tren, namun tiada kecederaan dilaporkan dengan semua penumpang berjaya diturunkan dengan selamat di Stesen Dato' Menteri.
Pasukan teknikal Rapid KL kemudian digerakkan ke lokasi bagi membersihkan serpihan pokok sebelum perkhidmatan disambung semula seperti biasa.






