Banjir: MB arah PBT siasat projek pembangunan, tarik kelulusan jika gagal patuhi syarat

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 5:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Banjir: MB arah PBT siasat projek pembangunan, tarik kelulusan jika gagal patuhi syarat

SHAH ALAM, 20 NOV: Semua projek pembangunan termasuk infrastruktur awam yang gagal mematuhi syarat penyediaan kolam takungan boleh dikenakan tindakan henti kerja, termasuk penarikan balik kelulusan kebenaran merancang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan siasatan dan inventori terhadap semua projek pembangunan bagi memastikan syarat berkaitan mitigasi banjir dipatuhi.

Image from: Banjir: MB arah PBT siasat projek pembangunan, tarik kelulusan jika gagal patuhi syarat
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Persidangan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 November 2026 Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

“Arahan terbaharu saya kepada PBT adalah supaya melakukan siasatan dan inventori terhadap semua projek pembangunan, baik projek jalan, perumahan baharu, sekolah atau kemudahan awam meskipun memberi manfaat kepada penduduk.

“Aspek banjir akan diberi penekanan supaya tiada masalah baharu timbul. Jika syarat kolam takungan tidak dipenuhi dan penyelenggaraan tidak dilakukan secara teratur, kolam boleh dipenuhi kelodak.

“Saya sudah arahkan supaya kerja dihentikan dan kebenaran merancang boleh ditarik balik. Kita tidak mahu ia menjejaskan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Amirudin mengarahkan kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sementara pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula susulan kejadian banjir yang melanda kawasan itu awal bulan ini.

Keputusan menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) itu dibuat bagi memastikan keselamatan rakyat terus diutamakan, khususnya di kawasan berisiko banjir.

Penyelarasan agensi

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata pertemuan bulanan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta PBT akan diadakan bagi memperkemas tindakan menangani banjir.

Katanya, kelemahan komunikasi antara pihak berkaitan dikenal pasti sebagai antara punca masalah itu, justeru penyelarasan di setiap peringkat perlu dipertingkatkan.

“Isu banjir perlu ditangani dan dijadikan keutamaan. Ketika EXCO Infrastruktur memantau projek, saya sendiri komited mengadakan pertemuan setiap bulan.

“Ini melibatkan semua pihak termasuk JPS, PBT, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis dan Yang Dipertua supaya kita dapat menangani banjir secara menyeluruh.

“Saya juga akan melihat papan pemuka banjir dan kemas kini setiap bulan. Semua agensi akan dipanggil dan jika memerlukan kelulusan segera, MMKN akan terus diadakan,” katanya.

Mengulas mengenai peruntukan, Amirudin menegaskan kekangan kewangan bukan faktor utama yang menghalang usaha menangani banjir, memandangkan Kerajaan Negeri sudah membelanjakan sejumlah dana termasuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini bukan soal peruntukan atau wang, tetapi bagaimana cara kita bekerja. Maknanya duit bukan isu besar walaupun perkara itu diperkatakan di peringkat akar umbi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved