
PETALING JAYA: Projek pembangunan infrastuktur yang tidak mematuhi syarat penyediaan kolam takungan perlu dihentikan termasuk kelulusan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut dibuat bagi mengatasi banjir di Selangor dengan arahan diberikan kepada PBT bagi melakukan siasatan dan inventori kepada semua projek pembangunan.
“Kalau tak penuhi syarat kolam takungan dan tak buat penyelenggaraan tersusun, kolam berkeladak, saya arahkan untuk henti tugas dan boleh tarik balik kebenaran merancang.
“Kita tidak mahu ia jejaskan pembangunan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2027 (Belanjawan Selangor 2027) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Sebelum ini, Amirudin mengarahkan kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sementara pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula susulan kejadian banjir yang melanda kawasan terbabit awal bulan ini.
Menurut Amirudin, perbincangan bulanan akan diadakan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT sebagai langkah mengekang kejadian banjir.
Malah, beliau juga menegaskan mahu mengetengahkan isu banjir yang perlu ditangani dan menjadi keutamaan.
“Selepas ini, saya akan cuba setiap bulan untuk melihat papan pemuka banjir dan kemas kini. Saya akan panggil semua agensi malah jika perlukan kelulusan segera, saya akan panggil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan,” tegasnya.
Amirudin menegaskan, isu peruntukan dan dana bukan faktor utama masalah banjir tidak dapat diselesaikan kerana pihaknya sudah menggunakan sejumlah wang selain peruntukan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan. – UTUSAN
The post Banjir: Projek pembangunan tanpa kolam takungan diarah henti appeared first on Utusan Malaysia.






