
SHAH ALAM, 18 NOV: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru, Klang dibuka malam ini susulan pengisytiharan bencana Tahap 1 di Kampung Meru.
Pegawai Daerah Klang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang, Mohd Hasry Nor Mohd mengumumkan pembukaan PPS berkenaan menerusi kenyataan pada jam 9.05 malam.
Menurutnya, pusat pemindahan itu dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Kampung Meru, selain memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.
Pembukaan PPS itu dibuat ketika paras air sungai di dua stesen pemantauan Pekan Meru terus meningkat dan melepasi tahap bahaya.

Berdasarkan data InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Stesen Pekan Meru mencatatkan bacaan 4.48 meter pada jam 9.06 malam berbanding 4.47 meter pada jam 4.24 petang.
Stesen Pekan Meru (F2) pula merekodkan peningkatan daripada 4.501 meter kepada 4.518 meter dalam tempoh sama.
Kedua-dua stesen berkenaan melepasi paras bahaya yang ditetapkan pada 4.2 meter, dengan trend aras air masih meningkat.
Secara keseluruhan, enam stesen pemantauan paras air sungai di Selangor merekodkan tahap bahaya malam ini, meningkat daripada lima stesen pada sebelah petang.
Selain dua stesen di Klang, tiga lagi berada di Kuala Selangor, manakala satu stesen di Hulu Langat.
Di Hulu Langat, Stesen Batu 12 Hulu Langat (F2) mencatatkan bacaan 43.176 meter, melepasi paras bahaya 42.4 meter, dengan trend air masih meningkat.
Sementara itu, tiga stesen di Kuala Selangor yang berada pada tahap bahaya ialah Teluk Penyamun Jeti (F2) dengan bacaan 6.254 meter, Parit Mahang (F2) pada 4.479 meter dan Pintu Air Ijok (3.99 meter).
Bagaimanapun, paras air di Parit Mahang (F2) menunjukkan trend penurunan, manakala Teluk Penyamun Jeti tidak mencatatkan perubahan trend. Pintu Air Ijok pula menunjukkan trend peningkatan.
Tiga lagi stesen berada pada tahap amaran, iaitu Parit Mahang dan Kampung Asahan (F2) di Kuala Selangor serta Jambatan Sempadan Sabak Bernam/Teluk Intan (F2) di Sabak Bernam.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 16 stesen pemantauan hujan di Selangor merekodkan hujan lebat dalam tempoh sejam.
Felda Gedangsa di Hulu Selangor mencatatkan taburan hujan tertinggi sebanyak 55.5 milimeter, diikuti Sekolah Rendah Kebangsaan Parit 4 Sungai Haji Dorani (F2), Sabak Bernam (49 milimeter).
Stesen Kampung Timah, Bukit Beruntung pula merekodkan 45 milimeter, manakala Sungai Burung, Sungai Besar mencatatkan 44.5 milimeter.
Daripada jumlah itu, lapan stesen hujan lebat direkodkan di Hulu Selangor, enam di Sabak Bernam serta masing-masing satu di Kuala Selangor dan Hulu Langat.
Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya berwaspada serta mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa.







