Banjir Nepal: 384 Pelancong Dilapor Hilang, Lapan Maut Dalam Banjir Kilat

26 Aug 2026 • 8:02 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Banjir Nepal: 384 Pelancong Dilapor Hilang, Lapan Maut Dalam Banjir Kilat

Sekurang-kurangnya 384 pelancong dan pengembara dilaporkan hilang selepas banjir kilat besar yang mencetuskan kejadian tanah runtuh berhampiran sempadan Nepal dan China, pada Rabu.

Lapan individu turut disahkan maut dalam bencana berkenaan, menurut Lembaga Pelancongan Nepal.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan, dengan pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran di kedua-dua belah sempadan.

Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, ratusan pelancong dan pengembara itu dilaporkan hilang dari kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut.

Pihak berkuasa kini sedang berusaha mengesahkan lokasi serta status keselamatan individu yang berada atau melalui kawasan terbabit ketika kejadian berlaku.

Mereka yang dilaporkan hilang membabitkan warganegara Nepal, India, United Kingdom, Afrika Selatan, Australia dan Belanda, manakala kewarganegaraan beberapa individu lain masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, polis Nepal memaklumkan lapan mayat ditemukan di daerah Nuwakot dan Dhading.

Beberapa balai polis, pejabat kastam serta rumah penduduk turut dilaporkan dihanyutkan banjir, manakala pihak berkuasa bimbang masih terdapat lebih ramai mangsa yang belum ditemukan.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, kejadian tanah runtuh turut melanda kawasan berhampiran Pelabuhan Gyirong, sebuah pelabuhan darat utama yang menghubungkan Nepal dan China di Wilayah Autonomi Xizang, atau Tibet, di barat daya China.

Bencana itu turut menyebabkan beberapa laluan menuju ke pelabuhan berkenaan di bahagian China terputus, selain menjejaskan sistem komunikasi dan bekalan elektrik.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran kecemasan kepada komuniti di kawasan hilir sungai sehingga ke Chitwan, sebuah daerah berhampiran sempadan India.

Pasukan penyelamat, termasuk helikopter, telah dikerahkan ke kawasan terjejas dengan anggota agensi keselamatan negara serta penduduk setempat turut membantu operasi mencari dan menyelamat.

Jurucakap Pasukan Polis Bersenjata Nepal, Shailendra Thapa, berkata kejadian limpahan tasik glasier di kawasan hulu Sungai Bhotekoshi dipercayai antara punca yang mungkin mencetuskan banjir dan kemusnahan tersebut.

Di Kathmandu, hospital kerajaan dan kemudahan perubatan yang dikendalikan agensi keselamatan turut dikosongkan bagi memberi ruang kepada mangsa yang cedera dalam bencana itu.

Kerajaan Nepal kini mengadakan mesyuarat Kabinet tergempar, manakala Menteri Dalam Negeri, Sudhan Gurung, dijangka memberi taklimat kepada Parlimen berhubung jumlah korban serta tahap kerosakan di kawasan terjejas.

Baca juga:

Kawasan Rasuwagadhi merupakan antara laluan yang sering digunakan pelancong untuk aktiviti pendakian di wilayah Langtang, antara destinasi trekking popular di Nepal.

Selain itu, sebahagian pengembara turut melalui kawasan berkenaan untuk menuju ke Gunung Kailash dan Tasik Mansarovar di China.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved