KATHMANDU - Sekurang-kurangnya 95 dilaporkan maut, manakala ratusan pelancong masih hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet, lapor BBC hari ini.
Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, antara pelancong yang masih gagal dikesan ialah lebih 100 rakyat India, 47 pelancong dari Amerika Syarikat, 33 warga Britain serta 17 rakyat Malaysia.
Kawasan yang dilanda bencana itu merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong dan penganut agama yang berkunjung untuk tujuan keagamaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan detik cemas apabila gelombang air bercampur lumpur menghempas bangunan di kawasan lintasan sempadan, ketika orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri daripada arus deras yang melanda.
Di Tibet, Presiden China Xi Jinping dilaporkan mengeluarkan arahan secara peribadi susulan kejadian itu yang disifatkan sebagai amat dahsyat, menurut wartawan BBC, Laura Bicker, di Beijing.
Sementara itu, Menteri Luar Nepal berkata, banjir kilat berkenaan dipercayai berpunca daripada gempa bumi yang mencetuskan kejadian tanah runtuh.
Bencana itu disifatkan antara tragedi alam paling buruk di Nepal sejak gempa bumi pada 2015 yang mengorbankan kira-kira 9,000 nyawa.
Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima laporan daripada beberapa agensi pelancongan bahawa mereka telah terputus hubungan dengan 11 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di daerah terjejas.
“Kedutaan sedang giat menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang kini digerakkan oleh kerajaan Nepal bagi mengesan rakyat Malaysia yang terjejas dan memastikan keadaan keselamatan mereka,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya di kawasan berhampiran lokasi bencana, supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, mereka turut digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat hubungan masing-masing secara berkala menerusi portal e-Konsular.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui talian +977 1 544 5680 / +977 1 544 5681 (umum), +977 1 544 5689 (konsular), atau talian kecemasan +977 980 100 8000.
Mereka juga boleh menghubungi pihak kedutaan menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my.
Rakaman video kejadian boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/reel/1619951533073418 - Getaran, 27 Ogos 2026





