Banjir Nepal: 9 Rakyat Malaysia Hilang Hubungan

27 Aug 2026 • 8:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Banjir Nepal: 9 Rakyat Malaysia Hilang Hubungan

KUALA LUMPUR - Sembilan rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju ke sempadan Nepal-Tibet dilaporkan terputus hubungan selepas kawasan berkenaan dilanda banjir.

Kumpulan yang dikenali sebagai “Team Loe” itu dipercayai dalam perjalanan dari Kathmandu menuju ke Lhasa dengan menaiki dua kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Menurut laporan Kosmo, kali terakhir kumpulan itu dapat dikesan berada kira-kira 18 kilometer dari pintu sempadan Rasuwagadhi-Kerung (Gyirong), sebelum hubungan terputus semalam.

Pengerusi Majlis Rekreasi Malaysia, Muhamad Nur Azrul Che Zabani, berkata, kumpulan terbabit berdepan risiko tinggi dihanyutkan arus deras berikutan laluan yang mereka gunakan melalui kawasan lembah.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat kemungkinan besar mereka berada dalam keadaan selamat sekiranya berjaya melepasi sempadan sebelum insiden itu berlaku antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.

“Jika mereka sempat melintasi sempadan sebelum kejadian, peluang untuk mereka berada dalam keadaan selamat adalah tinggi,” katanya.

Ketika ini, pihak berkuasa Nepal bersama pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat, manakala Kedutaan Malaysia di Nepal turut berusaha mendapatkan maklumat terkini mengenai kumpulan berkenaan.

Setakat ini, kesemua sembilan rakyat Malaysia itu masih belum berjaya dikesan atau dihubungi.

Pihak berkuasa Malaysia terus memantau perkembangan semasa dan berusaha mengesan lokasi serta memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang mungkin terjejas akibat bencana tersebut.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang berada di Annapurna Base Camp dilaporkan selamat dan tidak terjejas oleh banjir kilat yang melanda beberapa kawasan lain di Nepal.

Pemandu pelancong bebas, Muhammad Hafizal Hamidon, berkata keadaan di kem berkenaan kekal stabil dengan dianggarkan antara 65 hingga 70 rakyat Malaysia masih berada di situ. - Getaran, 27 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved