Banjir Nepal: 55 Rakyat Malaysia Belum Dapat Dikesan, Angka Belum Disahkan - Mohamad

27 Aug 2026 • 7:05 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Banjir Nepal: 55 Rakyat Malaysia Belum Dapat Dikesan, Angka Belum Disahkan - Mohamad

JEDDAH, 27 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Nepal, namun jumlah tersebut juga belum disahkan oleh pihak berkuasa negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata maklumat itu diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpulkan serta disemak oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

“Kita cuba menghubungi mereka tetapi tidak ada jawapan. Jadi, kita telah masukkan nama mereka dalam senarai yang masih hilang dan usaha sedang dilakukan oleh pihak keselamatan Nepal untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini pada Khamis.

Mohamad berada di sini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata usaha mengesan mereka menghadapi kesukaran berikutan laluan terjejas, selain jalan raya terputus dan jambatan musnah.

Beliau berkata berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Kementerian Luar Nepal, pihak berkuasa negara itu sedang menjalankan operasi SAR bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

“Kita mendapat laporan banjir itu seperti tsunami daratan yang amat besar, menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan ramai yang masih dilaporkan hilang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata Malaysia telah menghantar staf tambahan dari Dhaka, Bangladesh ke Kathmandu bagi membantu Kedutaan Malaysia mengurus situasi tersebut.

Staf tambahan akan membantu memantau perkembangan operasi, mengurus kebajikan rakyat Malaysia serta berurusan dengan pihak keselamatan Nepal.

“Kita telah menghantar staf tambahan dari Dhaka kerana dari situ hanya kira-kira satu jam sahaja untuk terbang ke Kathmandu,” katanya.

Baca juga:

Mengenai kemungkinan Malaysia menghantar bantuan fizikal termasuk pasukan penyelamat, Mohamad berkata perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, beliau menzahirkan simpati dan dukacita kepada keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.

“Saya ingin menyampaikan rasa takziah dan dukacita saya kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih dalam kategori tidak dapat dikesan atau hilang.

“Kita doakan agar sesuatu keajaiban boleh berlaku dan kita dapat menemui mereka,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved