Banjir Nepal: Lokasi akhir 3 rakyat Malaysia di Bhote Koshi

28 Aug 2026 • 9:46 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: Lokasi akhir 3 rakyat Malaysia di Bhote Koshi

PETALING JAYA – Tiga rakyat Malaysia yang dipercayai sedang melakukan aktiviti pendakian secara solo di Langtang Valley, Nepal masih gagal dihubungi lebih 45 jam selepas banjir kilat melanda negara itu sejak kelmarin.

Tiga individu dikenali sebagai Zaki, Adib dan Muhaimin itu dikatakan kali terakhir menghantar mesej pada pukul 10.42 pagi kelmarin (waktu Malaysia) sebelum hubungan dengan mereka terputus.

Rakan mereka, Emyliatahar menerusi perkongsian di Threads berkata, lokasi terakhir ketiga-tiga individu itu dikesan berada berhampiran Bhote Koshi.

“Sepatutnya mereka bertiga melakukan pendakian di Langtang Valley, Nepal bermula 26 Ogos lalu. Mesej terakhir pada pukul 10.42 pagi (waktu Malaysia) dan lokasi akhir yang dikesan adalah berdekatan Bhote Koshi.

“Tiga orang kawan kami masih belum dapat dihubungi. Tolong doakan mereka selamat,” katanya.

Menurutnya, laporan berhubung kehilangan ketiga-tiga mereka telah dibuat kepada pihak Kedutaan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

Bagaimanapun, sehingga pagi ini, pihak keluarga dan rakan-rakan masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai keberadaan mereka.

Perkongsian itu mengundang kebimbangan orang ramai, terutama susulan banjir kilat yang dilaporkan melanda beberapa kawasan di Nepal sejak kelmarin.

Seorang pengguna Threads, @Ahmdfikrree berkata, lokasi terakhir ketiga-tiga rakyat Malaysia itu dikatakan berada di kawasan yang berisiko dilanda arus air deras.

“Kalau tengok lokasi akhir yang dinyatakan, memang tempat laluan air hentam kuat dekat situ. Kalau nyawa masih panjang, alhamdulillah. Semoga ditemui selamat semuanya,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Husnadayah berkata, Zaki dan Muhaimin merupakan rakan sekerjanya dan seluruh warga pejabat kini menantikan perkembangan mengenai nasib mereka.

“Zaki dan Muhaimin kedua-duanya rakan pejabat saya. Semoga mereka kembali dengan selamat. Pejabat dah kecoh tunggu perkembangan semasa daripada mereka,” katanya.

Seorang pengguna lain, @_sheerara turut menitipkan doa agar urusan pencarian dan keselamatan ketiga-tiga individu berkenaan dipermudahkan.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan angka korban akibat bencana banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet, meningkat kepada 392 orang dengan lebih 1,400 lagi masih belum ditemui setakat pagi ini (waktu Malaysia).

Bencana berlaku selepas sebahagian glasier di kawasan Himalaya runtuh, menyebabkan aliran air, ais, batu dan lumpur dalam jumlah besar mengalir deras ke kawasan lembah memusnahkan rumah, jambatan, jalan raya, kemudahan infrastruktur serta menyukarkan usaha mencari dan menyelamat.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata, seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Nepal, namun jumlah tersebut juga belum disahkan oleh pihak berkuasa negara itu.

Beliau menambah, maklumat itu diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpulkan serta disemak oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu. – KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: Lokasi akhir 3 rakyat Malaysia di Bhote Koshi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved