Banjir Nepal: Keluarga pegawai bomba enggan fikir kemungkinan buruk

28 Aug 2026 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banjir Nepal: Keluarga pegawai bomba enggan fikir kemungkinan buruk
Mohd Fakhrul Munir (depan, kanan) merupakan antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan bencana banjir kilat di Nepal.

SIK - Keluarga kepada Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, yang gagal dihubungi susulan bencana banjir kilat di Nepal masih positif dan enggan memikirkan kemungkinan buruk.

Abang mangsa, Mohd Saiful Munir, 46, berkata, mereka sekeluarga terus berharap mangsa berada dalam keadaan selamat dan adiknya itu mungkin terputus hubungan akibat bencana yang melanda kawasan berkenaan.

Menurutnya, keadaan komunikasi yang terjejas termasuk talian telekomunikasi dan pencawang yang dilaporkan lumpuh menyebabkan keluarga masih yakin Mohd Fakhrul mungkin berada dalam keadaan selamat.

“Kami masih elak daripada beritahu ibu mengenai perkara yang negatif kerana belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai keadaan sebenar adik.

“Kami ambil sikap positif kerana kejadian tanah runtuh itu menyebabkan hubungan komunikasi terputus. Segala talian telekomunikasi dan pencawang turut runtuh serta lumpuh di sana,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Fakhrul ialah Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah dan merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Terdahulu, media melaporkan selain Mohd Fakhrul, seorang lagi pegawai bomba, Ketua Cawangan Kajian Operasi Pemadaman Kebakaran, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Sani Harul turut gagal dihubungi.

Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) dan bertolak ke Nepal pada malam Isnin lalu.

Difahamkan mereka tidak melakukan pendakian, sebaliknya menggunakan jip mengikut laluan Tibet.

Mengulas lanjut, Mohd Saiful yang juga pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang berkata, keadaan itu menyebabkan keluarganya percaya masih ada kemungkinan adiknya terperangkap di kawasan berkenaan dan tidak dapat menghubungi mereka.

Menurutnya, Mohd Fakhrul telah biasa ke Nepal kerana aktif dalam aktiviti pendakian dan berkunjung ke negara berkenaan antara tiga hingga lima kali setahun.

“Boleh dikatakan Nepal seperti rumah kedua dia, jadi pemergiannya ke sana bukan sesuatu yang pelik bagi kami kerana kami sudah biasa dengan aktiviti pendakian yang disertainya.

“Dia juga pernah membawa kumpulan-kumpulan pendaki sebagai jurupandu ketika berada di sana,” ujarnya.

Mohd Saiful berkata, kali terakhir mereka berhubung kira-kira seminggu lalu sebelum adiknya itu berlepas ke Nepal, namun perbualan mereka ketika itu hanya berkisar mengenai khabar masing-masing.

Katanya, keluarga kini hanya mampu menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa sambil terus mendoakan keselamatan Mohd Fakhrul.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved