Isteri Pegawai Bomba Hilang Di Nepal Berlepas Ke Kathmandu Hari Ini

28 Aug 2026 • 6:05 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Isteri Pegawai Bomba Hilang Di Nepal Berlepas Ke Kathmandu Hari Ini

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Isteri kepada pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) yang dilaporkan hilang di Nepal, berlepas ke Kathmandu hari ini atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi pencarian suaminya.

Hani Othman berkata beliau membuat keputusan untuk terbang ke Nepal seorang diri bagi mendapatkan perkembangan terkini usaha pencarian mangsa yang hilang di sana dan tidak mahu hanya berdiam diri di rumah.

“Ini inisiatif saya sendiri untuk dapatkan perkembangan terkini sebab saya tak boleh duduk di rumah saja dan menangis. Saya perlu lakukan sesuatu.

"Setakat ini saya pergi seorang diri tetapi di sana nanti ada rakan-rakan serta kenalan suami yang sedia membantu. Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu juga telah dimaklumkan mengenai kehadiran saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Suami Hani, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 40-an, atau lebih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di negara berkenaan.

Baca juga:

Turut dilaporkan hilang Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Mohd Sani Harul yang dalam misi pendakian sama.

Mengulas mengenai sokongan moral, Hani memberitahu pihak keluarga serta rakan-rakan terdekat mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan suaminya dan mangsa lain.

Sebelum dilaporkan hilang, Mohd Fakhrul Munir menerusi hantaran di laman sosialnya pada 2 Ogos lepas ada berkongsi pandangan peribadi mengenai risiko pendakian gunung ekstrem serta impak tragedi di Broad Peak yang dikaitkan dengan insiden taufan di Gunung Everest pada 1996.

Sementara itu, M. Vasanthi, 51, adik kepada M. Venilla, 52, seorang lagi rakyat Malaysia yang ketika kejadian sedang dalam perjalanan ke Gunung Kailash di Tibet, China dan masih gagal dihubungi sehingga kini, berharap kakaknya ditemui dalam keadaan selamat.

“Ketika ini saya sudah kehilangan kata-kata, saya cuma mahu kakak pulang dengan selamat ke pangkuan kami semua, saya dan anak-anak beliau sentiasa mendoakan keselamatannya,” katanya kepada Bernama.

Vasanthi berkata ketiga-tiga anak kakaknya masing-masing berusia 26, 21 dan 18 tahun kini amat beremosi serta terkesan dengan situasi yang berlaku sehingga mereka sukar untuk tidur malam.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk tinggal bersama mereka di kediaman kakak di Puchong. Walaupun saya sendiri bagaikan hilang semangat, dalam saat genting seperti ini saya perlu mengumpul kekuatan untuk bersama mereka bagi memberikan sokongan,” katanya.

Vasanthi berkata kali terakhir beliau berhubung dengan kakaknya ialah menerusi panggilan video pada Rabu lepas, iaitu sekitar 11.30 pagi waktu Malaysia dan ketika itu Venilla di dalam bas selepas tiba di Nepal bersama rombongan disertai kira-kira 35 orang.

“Kakak ke sana bagi melaksanakan upacara keagamaan dan ketika kami berbual itu, biar pun dalam keadaan sangat penat, beliau nampak gembira malah berkongsi pemandangan sekitar yang cukup indah dari dalam bas,” katanya.

Kementerian Luar memaklumkan 57 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir besar yang melanda Nepal, Rabu lepas.

Angka terkini itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan setakat 11 malam, 27 Ogos.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved