
IPOH – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menggerakkan misi kemanusiaan ke Nepal susulan banjir besar yang melanda negara berkenaan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah menghubungi Kedutaan Nepal di Malaysia semalam bagi menyampaikan ucapan takziah selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa bencana.
Katanya, pihak kedutaan memaklumkan bencana berkenaan amat dahsyat dengan angka korban dan mangsa hilang dijangka terus meningkat.
“Insya-Allah, pada Isnin atau Selasa ini, saya akan mendapatkan penerangan daripada pihak kedutaan Nepal sebelum kita menghantar misi awal untuk melihat keadaan di lapangan dan membuat penilaian keperluan bantuan.
“Bantuan awal yang akan diberi tumpuan adalah bekalan ubat-ubatan sebelum makanan dan keperluan asas lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Azmi berkata, MAPIM turut menghubungi dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi rakan jaringan mereka di Nepal bagi membantu mengenal pasti kawasan paling teruk terjejas.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai misi MAPIM itu yang disasar untuk dilaksanakan dalam tempoh seminggu dari sekarang.
“Untuk sukarelawan awal ke sana nanti, kita akan hantar empat orang selain mengundang NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain untuk turut serta.
“Selepas itu, masing-masing mungkin akan mempunyai misi bantuan tersendiri,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, runtuhan glasier pada pagi Rabu mencetuskan aliran deras batu, ais, lumpur dan serpihan yang melanda sistem sungai di kawasan pergunungan Himalaya.
Banjir berkenaan menghanyutkan kampung dan memusnahkan infrastruktur penting di sepanjang laluan yang menjadi tumpuan pendaki dan jemaah, menghubungkan Kathmandu dengan Lhasa di Tibet.
Daripada hampir 1,000 individu yang masih hilang, sekurang-kurangnya 540 adalah warga asing. – KOSMO! ONLINE
The post MAPIM gerak misi kemanusiaan ke Nepal appeared first on Kosmo Digital.






