SEBERANG JAYA - Malaysia sedang menyelaras penghantaran bantuan termasuk pasukan penyelamat ke Nepal susulan bencana yang mengorbankan nyawa dan menyebabkan puluhan rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini sedang mendapatkan senarai terakhir rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian berkenaan termasuk mereka yang disahkan meninggal dunia dan masih belum diketahui nasib.
“Memang ada beberapa, ada puluhan juga orang-orang Malaysia, sama ada jelas kehilangan nyawa atau pun masih belum dapat dikesan.
“Jadi kita minta keluarga semua (yang terlibat) hubungi Kementerian Luar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Sembilang di sini pada Jumaat.
BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang
95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal
17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal
Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal
Terdahulu, seramai 57 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat dahsyat di daerah Rasuwa, Nepal.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, angka terkini itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan setakat 11 malam, 27 Ogos.
Kementerian itu memaklumkan misi diplomatiknya di kawasan berkenaan sedang membuat semakan atau pengesahan terhadap laporan tersebut dengan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa dan agensi Nepal berkaitan.
Dalam pada itu, Anwar menambah, Malaysia turut sedang menyelaraskan usaha bersama kerajaan Nepal bagi menyalurkan bantuan termasuk daripada aspek kewangan dan bekalan ubat-ubatan.
Menurutnya, beberapa negara jiran seperti India, China dan Bangladesh juga sudah menghantar bantuan kepada Nepal.
“Kita akan ambil berat kerana ini malapetaka yang tidak diduga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia turut mempertimbangkan penghantaran pasukan penyelamat ke negara terbabit.
Katanya, perkara itu kini diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menentukan bentuk bantuan yang sesuai termasuk pasukan SMART, pasukan penyelamat atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Sekarang ini diselaraskan. Mungkin sekejap lagi saya dapat daripada Majlis Keselamatan Negara yang sedang menyelaraskan sama ada kita hantar pasukan SMART, pasukan penyelamat ataupun bomba.
“Itu kita putuskan sekarang,” katanya.
Bencana banjir yang melanda pada pagi Rabu itu telah meragut lebih 400 nyawa manakala lebih 800 lagi termasuk ratusan pelancong asing belum ditemui.
Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di tengah-tengah kemusnahan teruk jalan raya dan gangguan sistem komunikasi.




