
PETALING JAYA – Seramai 10 rakyat Malaysia dikenali sebagai ‘Team Loe’ dikhuatiri berdepan risiko tinggi terkena kepala air ketika dalam perjalanan menuju Lhasa Tour, Tibet, selepas mereka dilaporkan masih gagal dikesan dan tidak dapat dihubungi sejak semalam.
Pengerusi Majlis Rekreasi Malaysia, Muhamad Nur Azrul Che Zabani berkata, risiko berkenaan dijangkakan berlaku disebabkan mereka berada di jalur laluan kepala air kerana ia adalah kawasan lembah.
Beliau berkata, maklumat berhubung perkembangan ‘Team Loe’ itu diterima daripada pihak operator yang mengendalikan perjalanan mereka.
Menurutnya, kumpulan terbabit menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dari Kathmandu menuju ke sempadan Nepal-Tibet bagi meneruskan perjalanan ke Lhasa Tour.
Katanya, kesemua mereka gagal dihubungi sejak semalam bermula pagi sehingga kira-kira pukul 2 pagi tadi.
“Analisis risiko saya mengatakan mereka kena kepala air sangat tinggi kerana mereka berada di jalur laluan kepala air, sebab kawasan ni lembah.
“Semasa berlaku kepala air, Jeep mereka lagi 18 kilometer nak sampai ke sempadan Nepal-Tibet, Rasuwagadhi – Kerung (Gyirong).
“Selepas kejadian itu, pihak operator tidak mendapat apa-apa lagi sebarang berita daripada mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya mereka sempat melepasi urusan di sempadan sebelum kejadian kira-kira pukul 9 hingga 10 pagi, kebarangkalian untuk mereka selamat adalah tinggi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan Nepal bersama pasukan penyelamat kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan bencana.
“Untuk maklumat, kawasan tersebut sangat teruk untuk dimasuki dan terdapat kawasan yang berbahaya kepada penyelamat,” katanya.
Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Nepal turut giat berusaha mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini daripada pasukan penyelamat.
Azrul turut memaklumkan senarai nama 10 rakyat Malaysia yang terlibat dikongsikan selepas mendapat kebenaran daripada pihak operator, termasuk gambar mereka bagi membantu usaha pengesanan.
Beliau menyeru 10 keluarga yang terlibat serta komuniti rekreasi dan aktiviti luar agar bersama-sama mendoakan keselamatan kesemua mereka.
“Bagi 10 keluarga yang terlibat dan semua rakan-rakan aktiviti luar, sama-sama kita doakan yang terbaik buat mereka. Selamatkan mereka semua,” katanya.
Dalam pada itu, waris turut dinasihatkan menghubungi pihak insurans masing-masing bagi mendapatkan maklumat mengenai bantuan yang boleh ditawarkan berhubung kejadian tersebut.
Senarai nama 10 rakyat Malaysia (Team Loe) disiarkan atas kebenaran pihak operator.
1. GANESH NEUPANE
2. SHABUDDIN MUN
3. AZMAN KARIM
4. MOHD FADZIL DAROS
5. MUHAMMAD HAZIQ ISMAIL
6. MOHD NOHAN SALIM
7. JASON NGEOW
8. MUHAMAD NASIR ABDUL TALIB
9. MOHD FAKHFUL MUNIR MOHD ISA
10. MOND SANI HARUL – KOSMO! ONLINE
The post Banjir Nepal: Risiko 10 ‘Team Loe’ kena kepala air sangat tinggi appeared first on Kosmo Digital.


