Banjir Nepal: ‘Saya tidak bersedia lagi’ – Isteri mangsa

13 Sep 2026 • 11:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banjir Nepal: ‘Saya tidak bersedia lagi’ – Isteri mangsa
Jamaliah

KUALA LUMPUR - “Saya tidak bersedia lagi.”

Itu jawapan ringkas Jamaliah Tengku Ismail, 67, isteri kepada Muhamad Nasir Abdul Talib, 68, apabila ditanya mengenai perkembangan terbaharu suaminya yang antara 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan susulan bencana banjir di Nepal pada 26 Ogos lalu.

Jamaliah turut tidak memberikan jawapan ketika ditanya mengenai bentuk bantuan atau maklumat yang diharapkan keluarga daripada kerajaan ketika ini.

Beliau juga tidak menjawab pertanyaan sama ada keluarga menerima sebarang maklumat baharu daripada Wisma Putra, Kedutaan Malaysia atau pihak berkuasa Nepal dan China sejak beberapa hari lalu.

Muhamad Nasir sebelum ini dilaporkan melakukan perjalanan ke kawasan Nepal-Tibet bersama sekumpulan rakan.

Kumpulan itu bertolak dari sebuah hotel sekitar jam 3.30 pagi waktu Nepal dan lokasi terakhir mereka yang diketahui ialah Yala Cafe sekitar jam 6 hingga 7 pagi.

Jamaliah sebelum ini dilaporkan masih berharap suaminya berada di lokasi selamat selagi tiada pengesahan mengenai nasibnya.

Pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Nepal bagi mencari kaedah untuk mengesahkan secara rasmi status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan waris menguruskan perkara berkaitan termasuk tuntutan insurans dan dokumentasi.

Sehingga kini, Muhamad Nasir kekal antara rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.

Bagi Jamaliah dan keluarga, penantian itu masih berterusan tanpa kepastian mengenai nasib suaminya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved