SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.
Baginda bertitah, isu banjir bukan perkara baharu malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.
Bagaimanapun menurut baginda, nasihat tersebut seolah-olah tidak dipedulikan dan diibaratkan seperti 'mencurah air ke daun keladi' apabila masalah itu masih berlaku sehingga kini.
"Setiap tahun diperuntukkan bajet bagi mengatasi banjir, namun hasilnya masih tidak memuaskan dan rakyat terus terkesan khususnya di kawasan perumahan di beberapa daerah," titah Sultan Selangor.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan DUN di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, baginda sekali lagi menegaskan agar kerajaan negeri memberi fokus utama terhadap penyelesaian isu banjir termasuk merangka pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang secara menyeluruh.
Dalam pada itu, baginda turut menitahkan supaya Sungai Klang dibersihkan bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih yang mencukupi seiring pertambahan populasi negeri.
Baginda menegaskan tidak akan jemu mengingatkan supaya tindakan segera diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih dapat diselesaikan sepenuhnya.
Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menegur sikap segelintir pihak industri yang gagal mengurus sisa dengan baik sehingga berisiko mencemarkan sungai.
"Tindakan tegas perlu diambil terhadap kilang yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT)," titah baginda.
Dalam perkembangan sama, baginda turut menyentuh isu kebersihan dan kelemahan perkhidmatan kutipan sampah yang dilihat masih belum ditangani secara berkesan.
Baginda juga mencadangkan kerajaan negeri memberi tumpuan serius kepada pembangunan industri tenaga daripada sisa (WTE) yang berpotensi besar dalam pengurusan sisa dan penjanaan tenaga lestari.
Menurut baginda, beberapa negeri lain telah lebih awal mengorak langkah dalam sektor itu dan menunjukkan hasil positif termasuk penjimatan perbelanjaan.
Baginda bagaimanapun menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor, namun menegaskan segala perancangan perlu dilaksanakan segera dan bukan sekadar cadangan.
Mengulas lanjut, baginda turut membangkitkan isu jalan berlubang yang sering menjadi rungutan rakyat dan meminta pendekatan lebih sistematik serta bersepadu dilaksanakan.
"Beta sering menerima aduan bertulis daripada rakyat mengenai kegagalan menangani masalah asas. Jangan hanya bercakap sehingga rakyat hilang kepercayaan,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut mengulangi ketetapan supaya aktiviti penternakan babi tidak dijalankan di negeri ini atas faktor kekangan tanah, sensitiviti kawasan berpenduduk padat serta risiko pencemaran.
Baginda mencadangkan bekalan daging babi diperoleh melalui import dari luar termasuk dari Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam.
"Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai," tegas baginda.





