
Penangguhan SUKMA: Kerajaan Selangor Ambil Pandangan ADUN, Titah Sultan Jadi Panduan
SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan pandangan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 ditangguhkan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata beliau menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor pada pembukaan DUN Selangor hari ini, khususnya berkaitan cadangan penangguhan temasya sukan dwitahunan itu.
“Bagaimanapun kita tunggu ADUN berbahas dahulu dan (dengar) pandangan mereka dan daripada situ, insya-Allah kerajaan negeri akan meneliti serta melihat kepada keperluan sama ada (SUKMA Selangor 2026) ditangguh atau diteruskan.
“Bagaimanapun titah Tuanku Sultan sewajarnya kita jadikan panduan dan pedoman untuk membuat sebarang keputusan. Pada sidang DUN ini, kita serah kepada ADUN untuk berbahas dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor ke-15 Tahun 2026 di sini hari ini.
Warga Emas, Remaja Terselamat Dalam Kebakaran Di Pendang
'Biawak' Ada Paruh Burung Nuri, Macam Mustahil Tapi Haiwan Ini Pernah Wujud
Mengejutkan, Belon Udara Panas Bawa Belasan Penumpang Mendarat Di Halaman Rumah
Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 berpandangan penangguhan itu perlu dilihat secara menyeluruh memandangkan ia acara peringkat kebangsaan yang diputuskan bersama-sama dengan negeri lain serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan pandangan supaya penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari sebelum ini berkata temasya dwitahunan itu akan dilaksanakan pada skala lebih kecil bagi menjimatkan kos penganjuran tanpa mengurangkan jumlah sukan dan acara dipertandingkan.
Beliau berkata langkah itu diambil selepas Jawatankuasa Tertinggi temasya sukan itu mengambil maklum mengenai krisis tenaga global dan kesan ekonomi dunia yang turut dirasai di negara ini.






